PETALING JAYA: Sektor hartanah diramal menghasilkan pendapatan yang lebih berdaya tahan pada separuh kedua tahun ini disokong peningkatan dalam jualan hartanah baharu serta jualan belum dibilkan yang kukuh.
CGS International berkata, syarikat di bawah liputan mereka kebanyakannya mencapai 23 hingga 62 peratus sasaran jualan tahunan masing-masing pada suku pertama 2024, sekali gus menunjukkan jualan berada di landasan untuk mencapai sasaran tahunan.
Katanya, jualan syarikat yang belum dibilkan secara kolektif berjumlah RM19 bilion, diterjemahkan kepada nisbah perlindungan sekitar 1.2 kali.
“Prospek sektor itu terus disokong oleh statistik yang lebih baik termasuk jumlah jualan hartanah serta kediaman yang tidak terjual.
“Pada suku pertama tahun ini, jumlah jualan hartanah meningkat empat peratus dari suku ke suku dan 34 peratus dari tahun ke tahun kepada 56,000 unit, manakala unit kediaman tidak terjual kekal dalam aliran menurun yang stabil, menyusut sebanyak enam peratus dari suku tahun ke suku tahun dan 10 peratus dari tahun ke tahun kepada 24,000 unit,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan beberapa pemangkin baharu akan muncul pada separuh kedua 2024 yang mungkin membawa kepada persekitaran operasi yang lebih baik.
Antaranya, termasuk keputusan mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-EZ), pelancaran transit kereta api autonomi (ART) Johor, kejelasan lanjut mengenai kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan insentif perumahan berpotensi yang digariskan di bawah Bajet 2025 (dijadualkan untuk dibentangkan pada 18 Oktober 2024).
“Sementara itu, kami menjangkakan sektor itu juga akan mendapat manfaat daripada percambahan berterusan pusat data di Malaysia, khususnya di Lembah Klang dan Johor,” katanya.
CGS International berkata, walaupun sektor itu menampilkan prospek yang menjanjikan, mereka berpendapat, syarikat perlu mempamerkan potensi pertumbuhan pendapatan yang lebih teguh dengan pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang lebih baik bagi memberi penilaian lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan Sime Darby Property menjadi pilihan utama disokong kombinasi jualan seimbang merentasi produk kediaman dan perindustrian serta pertumbuhan pendapatan teguh daripada usaha niaga pusat datanya.
“Kami juga menyukai Eco World Development Group (EWDG) kerana penilaiannya yang menarik, disokong oleh pertumbuhan pendapatan di atas rakan setaranya dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.-UTUSAN










