Ringgit satu-satunya mata wang yang mengukuh di rantau ini

Ringgit satu-satunya mata wang yang mengukuh di rantau ini

ABDUL Rasheed Abdul Ghaffour pada pembentangan KDNK suku kedua 2024 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur di sini, semalam.-UTUSAN/NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dari awal tahun hingga 13 Ogos lalu, sekali gus muncul satu-satunya mata wang yang mengalami peningkatan di rantau ini.

Pada asas kadar pertukaran efektif nominal (NEER), ringgit turut menambah nilai sebanyak 5.3 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ini sebahagiannya didorong oleh jangkaan semakin meningkat dalam kalangan peserta pasaran kewangan berhubung dengan pengurangan dasar kadar faedah AS.

Katanya, perkara tersebut telah meredakan tekanan terhadap mata wang serantau termasuk ringgit.

“Inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) beserta libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pelabur terus memberikan sokongan terhadap ringgit.

“Semua usaha ini telah menyebabkan aliran yang lebih besar dan konsisten ke dalam pasaran pasaran pertukaran asing. 

“Purata harian bagi jumlah urus niaga pertukaran asing (FX) telah meningkat kepada AS$18 bilion (RM79.90 bilion) untuk tempoh 26 Februari hingga 13 Ogos 2024, berbanding AS$15 bilion (RM66.59 bilion) dari 2 Januari hingga 23 Februari 2024.

Spread bida-tawar juga lebih kecil, menunjukkan kecairan dalam pasaran domestik FX yang bertambah baik,” katanya pada majlis pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, beliau melihat pengukuhan ringgit baru-baru ini sebagai satu bentuk pemulihan daripada prestasinya pada masa lalu.

“Ia (ringgit) sedang bergerak ke arah landasan yang tepat dari segi asasnya yang efektif dan prospek ekonomi yang kukuh. Sudah tentu kita melihat sokongan terhadap ringgit adalah positif ketika ini.

“Pertumbuhan kredit dalam sektor bukan kewangan swasta meningkat kepada 5.4 peratus pada suku kedua berbanding 5.2 peratus pada suku pertama lalu berikutan pertumbuhan pinjaman terkumpul perniagaan yang lebih tinggi dan bon korporat terkumpul,” ujarnya.

Beliau berkata, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan pelaburan dan pinjaman modal kerja.

“Mengikut sektor, pertumbuhan yang lebih kukuh dicatatkan oleh sektor pembinaan dan perkilangan. Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul masih berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

“Permintaan bagi pinjaman isi rumah kekal menggalakkan, terutamanya untuk gadai janji,” katanya.

Mengenai pelaksanaan keperluan pembayaran bersama (co-payment) bagi produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) berkuat kuasa September ini, Abdul Rasheed berkata, ia menawarkan lebih banyak pilihan kepada pemegang polisi mengikut kemampuan masing-masing.

“Pembayaran bersama menyediakan pilihan kepada pengguna. Oleh itu, kami meminta bank bermula September ini untuk menawarkan produk dengan elemen pembayaran bersama.

“Dengan adanya produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama, pengguna dapat memilih produk MHIT pada kos yang lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka. 

“Berdasarkan pemerhatian, tahap premium atau sumbangan untuk produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama akan lebih rendah 19 hingga 68 peratus jadi pengguna menikmati harga lebih murah,” katanya.

Berkuat kuasa 1 September ini, BNM menetapkan semua penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna bagi membeli produk MHIT bercirikan pembayaran bersama.

Justeru, ITO dikehendaki menunjukkan Helaian Pendedahan Produk dengan sekurang-kurangnya satu pilihan yang menawarkan ciri berkenaan kepada pelanggan mulai 1 Januari 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN