LIAM lancar Dana Insurans Pek Permulaan (SPIF) i-MULA 50 bernilai RM5 juta - Utusan Malaysia

LIAM lancar Dana Insurans Pek Permulaan (SPIF) i-MULA 50 bernilai RM5 juta

Mark O’Dell (empat dari kiri) dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid (lima dari kiri) pada Majlis Pelancaran i-MULA 50 di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melancarkan program Dana Insurans Pek Permulaan (SPIF), i-MULA 50 yang bernilai RM5 juta daripada 11 syarikat insurans hayat terpilih. 

Program permulaan ini merupakan inisiatif yang direka untuk menjadikan insurans hayat lebih mudah diakses dan mampu milik kepada 100,000 rakyat Malaysia yang layak. 

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell berkata, di bawah program ini, sebanyak 11 syarikat insurans hayat akan menawarkan 31 pelan perlindungan yang mampu milik, menyasarkan golongan muda dan keluarga muda di seluruh negara.

“Rakyat Malaysia yang berminat hanya perlu membayar secara ‘one-off’ RM50 bagi mendapatkan insurans perlindungan di 11 syarikat insurans hayat terpilih,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran i-MULA 50 di sini. 

Yang turut hadir, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid. 

SPIF ditubuhkan oleh syarikat-syarikat ahli LIAM, bertujuan untuk menyokong pembeli pertama kali terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutama belia, pembeli insurans kali pertama dan keluarga muda dalam mendapatkan perlindungan insurans hayat. 

i-MULA 50 menawarkan subsidi RM50 untuk setiap polisi insurans hayat yang layak untuk menjadikan pembelian insurans lebih mampu milik.

Produk yang layak termasuk pelan insurans yang ringkas, mampu milik dan mudah difahami seperti produk Perlindungan Tenang, produk insurans premium mikro atau rendah dan produk sedia ada yang disesuaikan.

Perlindungan insurans di bawah i-MULA 50 termasuk manfaat kematian, hilang upaya kekal (TPD), perbelanjaan perubatan keperluan kritikal dan perbelanjaan hospital.

Pemegang polisi dikehendaki membayar premium tahunan sekurang-kurangnya RM25 untuk menerima subsidi RM50, memastikan bahawa pemegang polisi benar-benar memahami produk insurans yang mereka rancang untuk dibeli. 

Untuk mengekalkan kemampuan milik, premium tahunan untuk pelan ini berkisar antara RM75 hingga RM600.

Dalam pada itu, jelas Mark, kadar penembusan insurans hayat hanya 58.6 peratus pada tahun 2023 dan lebih daripada 40 peratus rakyat Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan insurans. 

“Inisiatif ini menguatkan komitmen industri terhadap pembangunan industri insurans hayat Malaysia yang dinamik dan menyokong usaha perlindungan sosial kerajaan,” katanya. 

Program i-MULA 50 bermula pada 28 Ogos ini dan akan berakhir sebaik sahaja dana RM5 juta digunakan sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN