ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menerima pelaburan berjumlah kira-kira RM1 bilion menerusi pembukaan kilang syarikat pembuatan perkakas perubatan dari Amerika Syarikat, Insulet Corporation.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, pembukaan kilang Insulet Malaysia itu melibatkan tanah berkeluasan 400,000 kaki persegi.
Katanya, pembukaan kilang berteknologi moden itu di negeri ini selari dengan hasrat menjadikan Johor sebuah pemain industri sektor teknologi.
“Pelaburan ini adalah hasil kerjasama antara syarikat terlibat dan juga agensi kerajaan Malaysia dan Singapura. Walaupun inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) masih dirangka, namun projek berkaitan telah mula dilaksana.
“Diharap dengan kerjasama kedua-dua negara, lebih banyak pelaburan berimpak tinggi akan dapat dibawa masuk ke negeri ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Insulet Malaysia, di sini.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Insulet Corporation, Jim Hollingshead dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim.
Sementara itu, Ting Han memberitahu, pembukaan kilang berkenaan bakal menyediakan sehingga 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Secara tidak langsung, ia juga akan meningkatkan modal insan tempatan dalam sektor perkakas kesihatan. Kehadiran syarikat ini juga bakal mewujudkan rangkaian perkhidmatan sokongan berkualiti yang turut memanfaatkan penduduk tempatan.
“Kemasukan pelaburan asing berkualiti seperti ini bakal membantu menjayakan hasrat Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030,” jelasnya lanjut.-UTUSAN









