PETALING JAYA: CTOS, agensi pelaporan kredit utama di Malaysia menegaskan komitmen dalam menjamin keselamatan maklumat dengan pensijilan ISO/IEC 27001:2022 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) daripada SIRIM QAS International.
ISO/IEC 27001:2022 adalah satu piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menyediakan pendekatan sistematik yang mengawal bagaimana manusia, proses dan teknologi bekerjasama mengurus maklumat sensitif melalui pengurusan risiko yang efektif.
Menurut kenyataan, dengan pensijilan itu, pengguna CTOS boleh yakin bahawa kerahsiaan, integriti dan ketersediaan maklumat yang dikemukakan akan dilindungi, di samping memastikan pematuhan sepenuhnya kepada keperluan peraturan dan amalan terbaik industri.
“Yang penting, pensijilan ISO/IEC 27001:2022 ini memupuk kepercayaan yang lebih tinggi di kalangan pelanggan dan rakan kongsi mengenai keselamatan maklumat mereka.
“Mengadaptasi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bukan sahaja menunjukkan sikap proaktif CTOS, tetapi juga membolehkan CTOS memperoleh kelebihan daya saing dalam sektor pelaporan kredit di pasaran operasinya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, Erick Hamburge berkata, pensijilan itu mengukuhkan komitmen CTOS dalam melindungi maklumat sensitif melalui amalan pengurusan risiko yang mantap.
“Dengan terus meningkatkan piawaian kami, kami dapat meyakinkan pihak berkepentingan bahawa kami mengambil serius keselamatan data dan akan terus melaksanakannya di masa depan.
“Pelaksanaan pensijilan ini mengambil masa 12 bulan dan melibatkan beberapa audit bebas, termasuk audit dalaman dan oleh badan pensijilan.
“CTOS Data Systems dan CTOS Basis akan menjalani audit pemantauan tahunan bagi memastikan pematuhan yang berterusan,” katanya. – UTUSAN








