PETALING JAYA: Bursa Malaysia mencatatkan pemulihan ketara apabila kembali mencapai paras tertinggi dalam tempoh hampir empat tahun, disokong oleh kaunter-kaunter berwajaran tinggi seperti Tenaga, Public Bank, Maybank dan CIMB.
Dalam dagangan semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,678.80, naik 25.25 mata atau 1.53 peratus daripada 1,675.24 pada penutup kelmarin.
Indeks dibuka 4.93 mata lebih tinggi kepada 1,658.48 dan turun naik antara 1,651.10 dan 1,679.85 sepanjang sesi.
Dalam pasaran meluas menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 771 berbanding 421 manakala, 437 kaunter tidak berubah dan sebanyak 861 tidak diniagakan.
Jumlah dagangan sebanyak 3.95 bilion bernilai RM6.22 bilion daripada 3.67 bilion unit bernilai RM3.96 bilion pada Khamis.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik 0.56 sen kepada RM10.74, Public Bank Berhad pula naik 1.06 sen kepada RM4.75, CIMB naik 2 sen kepada 8.16 manakala, Hong Leong Bank susut 0.09 mata dan RHB susut 0.16 sen kepada RM6.10.
Bagi kalangan kaunter paling aktif, Velesto kekal kepada 0.210 sen, Barakah naik 0.005 sen kepada 0.075 sen, Ceb naik 0.025 sen kepada 0.37 sen, Public Bank naik kepada 0.040 sen kepada 4.74 sen manakala, Luster naik kepada 0.005 sen kepada 0.075 sen.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen pasaran dillihat berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua disemak tinggi kepada 3.0 peratus berbanding unjuran awal 2.8 peratus sekali gus, mengurangkan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi di AS.
“Selain itu, para pelabur asing masih mencatatkan belian semalam iaitu RM273.85 juta. Ini menunjukkan belian dalam kalangan pelabur dijangka akan terus menyokong pasaran saham tempatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, beliau melihat paras halangan sebelum ini adalah 1,670 namun, hari ini (semalam) pasaran telah mengatasinya dan terus mendekati jangkaan hujung tahun ini pada 1,700.
“Pada saya, sebelum ini ramalan asal hanya 1,700 dan saya percaya pada penghujung tahun ini akan mencapai sehingga 1,800. Ini didorong apabila Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka untuk menurunkan kadar faedah.
“Justeru, sentimen tersebut memberi galakan dan semangat kepada semua pelabur.
“Sekiranya Fed menurunkan kadar faedah, ini akan mendorong pelabur berpindah ke pasaran saham kecil yang berpotensi,” katanya. – UTUSAN











