Saham Astro ditutup rendah susulan bil cukai tambahan

Saham Astro ditutup rendah susulan bil cukai tambahan RM734.88 juta

ASTRO Shaw dan Measat Broadcast Network Systems menerima notis cukai tambahan masing-masing berjumlah RM22.01 juta dan RM712.87 juta daripada LHDN.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) menjunam ke paras terendah baharu pada 28 sen sesaham semalam, selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengenakan bil cukai tambahan sebanyak RM734.88 juta kepada unitnya antara 2019 hingga 2023.

Pada pukul 5 petang, saham syarikat televisyen berbayar tersebut turun 6.45 peratus kepada 29 sen sesaham berbanding 31 sen sesaham ketika ditutup pada Khamis, menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM1.49 bilion.

Kenanga Investment Bank Bhd. berkata, dalam situasi paling teruk, liabiliti cukai tambahan ini akan menghakis dana pemegang saham Astro sebanyak 65 peratus kepada RM434 juta daripada RM1.13 bilion pada akhir April 2024.

Katanya, ia juga mendorong aset ketara bersihnya (NTA) 14 sen lebih dalam mamasuki negatif kepada -27 sen daripada -13 sen pada akhir April 2024.

“Dengan mengandaikan penyelesaian penuh, hutang bersih dan penggearan Astro sebanyak RM3.1 bilion dan 2.1 kali pada akhir April 2024 akan meningkat kepada RM3.8 bilion dan 9.8 kali (dengan andaian hutang dinaikkan untuk membayar cukai tambahan),” katanya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan mengekalkan saranan ‘underperform’ kepada syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) pada 25 sen sesaham berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF).

“Kami tetap berhati-hati dengan Astro disebabkan oleh persaingan sengit daripada platform penstriman berlebihan (untuk kandungan antarabangsa) dan televisyen percuma (untuk kandungan vernakular).

“Selain itu, asas kos yang melambung tinggi yang termasuk perbelanjaan warisan, contohnya,  pembayaran berterusan kos pajakan transponder kepada Satelit MEASAT.

“Astro juga berdepan persaingan daripada platform penstriman muzik digital yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan kandungan yang diperibadikan dan iklan yang disasarkan,” ujarnya.

Astro dalam pemfailan di Bursa Malaysia kelmarin memberitahu, dua anak syarikatnya, Astro Shaw Sdn. Bhd. dan Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. menerima notis masing-masing berjumlah RM22.01 juta dan RM712.87 juta (termasuk penalti).

Katanya, Astro Shaw dan Measat Broadcast Network Systems diberi masa 30 hari dari tarikh notis untuk merayu terhadap keputusan LHDN.

“Berdasarkan nasihat undang-undang yang diperoleh, Astro Shaw dan Measat Broadcast Network Systems berpendapat terdapat alasan yang adil dan munasabah untuk mempertahankan notis tersebut.

“Oleh itu, kedua-dua syarikat berhasrat untuk merayu dan jika perlu, memulakan prosiding undang-undang untuk mencabar asas dan kesahihan notis yang dibangkitkan oleh LHDN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×