PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net) menyasarkan untuk mencapai 30 cawangan pengedar menjelang 2025, dengan pelan pembesaran yang fleksibel berdasarkan permintaan yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, dengan penambahan rangkaian pengedar Proton e.MAS ini, Pro-Net berhasrat untuk memimpin industri kereta nasional dalam memanfaatkan perubahan kepada kenderaan elektrik untuk membina masa depan yang lebih lestari.
“Pengedar kami bukan sekadar untuk menjual kenderaan malahan menyediakan pusat inovasi dan pembelajaran yang bertujuan untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada pengguna.
“Inisiatif ini menunjukkan komitmen kami untuk membina kepercayaan yang lebih kukuh dalam kalangan pelanggan dan kami bertekad untuk menjadi peneraju bagi segmen kereta nasional dalam sektor kenderaan elektrik (EV),” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Proton mengumumkan pelantikan 17 pengedar rasmi Proton e.MAS yang pertama di dalam majlis menandatangani perjanjian semasa pelancaran jenama Proton e.MAS pada 12 Jun dan sehingga kini, jumlah tersebut telah bertambah kepada 18 pengedar di seluruh Malaysia.
“Pengembangan portfolio ini menandakan pencapaian yang signifikan dalam memperluas rangkaian pengedar Proton e.MAS yang diuruskan oleh Pro-Net bagi mengajak lebih ramai rakan kongsi untuk menyertai Proton dalam menjadikan kenderaan elektrik lebih mudah di akses oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Penubuhan 18 cawangan Proton e.Mas yang diwakili oleh 16 pengedar, menunjukkan langkah penting dalam menerajui pengembangan rangkaian yang besar dan meluas.
Sebanyak 17 daripada cawangan ini ditempatkan secara strategik di seluruh Semenanjung Malaysia, tiga di Kuala Lumpur, empat di Selangor, dua di Johor, tiga di Perak, dua di Pulau Pinang serta masing-masing satu di Kedah, Kelantan Pahang dan Sabah.
Menurut Qiang, pengembangan strategik ini menegaskan komitmen Pro-Net untuk menyediakan rangkaian yang mudah diakses dan sokongan menyeluruh kepada pelanggan di seluruh negara demi melangkah ke mobiliti masa hadapan dan lestari bersama Proton e.MAS.
“Cawangan-cawangan ini beroperasi di bawah model rangkaian komprehensif, dari pusat 1S hingga ke pusat 3S untuk memastikan para pelanggan menerima perkhidmatan yang menyeluruh dari setiap aspek.
“Pembangunan ini menunjukkan dedikasi Pro-Net untuk memulakan ekosistem yang serba lengkap dan komprehensif dalam memastikan kesiapsediaan kepada bakal pemilik Proton e.MAS.
“Rakan kongsi Pro-net juga penting dalam menyediakan ruang komuniti untuk pengalaman yang luar biasa, platform digital yang lancar, perkhidmatan selepas jualan, dan pilihan pengecasan,” katanya.-UTUSAN










