KUALA LUMPUR: Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) dan Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) melancarkan Indeks Zakat PRIBUMI Bursa Malaysia (PBMZI), indeks baharu pertama seumpamanya di dunia yang direka untuk mengiktiraf syarikat awam tersenarai yang mengamalkan zakat korporat.
PBMZI yang direka bersama PRIBUMI, adalah indeks pertama Bursa Malaysia yang disesuaikan, menunjukkan komitmen pengendali bursa saham tempatan untuk memajukan produk dan perkhidmatan patuh syariah dengan menawarkan produk pasaran inovatif yang menggunakan analitik data.
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata, PBMZI menggabungkan prinsip kewangan Islam dengan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).
Jelas beliau, ia selaras dengan Bursa Malaysia untuk menggalakkan syarikat tersenarai mengamalkan zakat korporat sebagai sebahagian daripada inisiatif ESG dan SRI mereka.
“Sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, pasaran modal Malaysia mempunyai asas dan rangka kerja yang kukuh serta kumpulan konstituen yang tepat untuk memperjuangkan amalan zakat korporat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PBMZI di sini, semalam.
Menurut kajian, zakat memiliki korelasi positif dengan pertumbuhan ekonomi.
Pengagihan zakat meningkatkan kuasa beli penerima zakat, sekali gus merangsang permintaan agregat.
Antara 2018 dan 2020, kutipan zakat Malaysia meningkat daripada RM3.0 bilion kepada RM3.5 bilion.
Sementara itu, Presiden PRIBUMI, Izrul Zainal Abidin berkata, Bursa Malaysia akan bekerjasama dengan perantara pasaran modal seperti PRIBUMI untuk membentuk indeks zakat pertama di dunia.
“Inisiatif perintis ini memperlihatkan matlamat bersama kami dengan Bursa untuk berinovasi dengan melancarkan PBMZI bagi memenuhi permintaan pelanggan kami untuk melabur dalam syarikat yang bertanggungjawab sosial.
“Lebih banyak boleh dilakukan untuk menggalakkan kesedaran dan amalan menyumbang zakat korporat dalam pasaran modal, yang selari dengan kewangan sosial Islam dan pelaburan beretika.
“Dengan ini, syarikat yang membuat sumbangan zakat korporat berpotensi meningkatkan daya tarikan pasaran mereka dengan menarik pelabur dan pelanggan yang sedar sosial,” katanya.
Berdasarkan butiran PBMZI, indeks berkenaan menjejaki prestasi 200 syarikat teratas yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang memenuhi kriteria kelayakan tertentu iaitu syarikat yang untung dan membuat sumbangan zakat korporat.
Selain itu, syarikat yang disenarai pendek menjalani saringan ketat untuk memastikan tiada kontroversi yang diketahui sebelum dianggap layak dimasukkan dalam indeks.
Setakat ini, PBMZI memiliki 27 konstituen yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kewangan, produk pengguna, tenaga, penjagaan kesihatan, perladangan, hartanah, teknologi, telekomunikasi, pengangkutan, dan utiliti.
Konstituen syarikat dalam PBMZI akan dinilai setiap separuh tahun iaitu pada Jun dan Disember.-UTUSAN










