KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) akan memindahkan ‘pejabat hadapan’ ke Tun Razak Exchange (TRX), menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata, sebahagian besar operasi Bursa Malaysia akan kekal di premis sedia ada di Exchange Square, Bukit Kewangan, manakala pejabat hadapan akan berpindah ke TRX.
Ini melibatkan segmen pemasaran bursa yang menguruskan keterlihatan dan penjenamaan Bursa Malaysia.
“Kami berpuas hati dengan lokasi kami sekarang. Ia adalah premis yang baik yang kami miliki dan ia memenuhi tujuan kami.
“Tetapi terdapat niat untuk menjadikan TRX sebagai pusat kewangan dan kami telah menerima cadangan daripada pemilik untuk berpindah ke sana.
“Apabila Bursa Malaysia berpindah ke TRX, ia akan memberikan makna kepada keseluruhan pembangunan,” katanya kepada pemberita sempena pengumuman prestasi bursa untuk separuh pertama 2024 di sini hari ini.
Abdul Wahid menjelaskan, Bursa sedang dalam perbincangan dengan pemilik bangunan tersebut.
“Idea ini benar-benar bertujuan untuk memberikan makna kepada keseluruhan pembangunan. Kami positif dengan cadangan ini dan hanya perlu menyelesaikan aspek ekonomi,” katanya.
Bulan lalu, Bursa mengumumkan bahawa ia sedang dalam perundingan akhir dengan pemaju The Exchange 106 di TRX untuk memindahkan ibu pejabatnya ke situ.
Dalam satu pemfailan, Bursa Malaysia berkata, ia mungkin akan menduduki dua tingkat di The Exchange 106 jika perbincangan dengan Mulia Property Development Sdn. Bhd. menjadi kenyataan.
Mulia Property dimiliki majoritinya oleh Menteri Kewangan (Incorporated).-UTUSAN










