MBOT bangunkan rangka kerja, akreditasi kursus pendek

MBOT bangunkan rangka kerja akreditasi kursus pendek

CHANG Lih Kang (dua dari kiri) melancarkan MBOT Strategic Plan (STRIVE) 2024-2029 pada program MBOT Experts Network In Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE) 2024 di Le Meridien Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) akan membangunkan rangka kerja komprehensif untuk mengakreditasi dan memprofesionalkan kursus pendek berkaitan teknologi dan kelayakan mikro.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, rangka kerja tersebut bakal memberi kemudahan kepada pelbagai laluan pengiktirafan dan pembangunan profesional.

Menurut beliau, inisiatif itu juga adalah selaras dengan Dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara 2030.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MBOT dengan mandatnya secara unik akan memastikan bahawa laluan alternatif ini memenuhi piawaian industri serta menerima pengiktirafan yang meluas.

“Saya percaya inisiatif ini bakal meningkatkan pertumbuhan serta daya saing bakat dan menjadi ‘game-changer’ dalam memacu inovasi dan meningkatkan kedudukan global negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE 24) di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima Anugerah Kepimpinan Teknologis, manakala Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab menerima Anugerah Teknologis Negara 2024.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, pihaknya menyedari tentang kekurangan bakat berteknologi tinggi, terutamanya membabitkan sektor teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), integrated circuit design, pengkomputeran awan dan keselamatan siber.

Justeru katanya, untuk memacu Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, adalah penting untuk negara mempunyai sekurang-sekurangnya 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam tenaga kerja buruh, agar ia setara dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Secara konvensional, laluan untuk menjadi seorang profesional adalah melalui ijazah akademik, termasuk sarjana dan program PhD (doktor falsafah). Walau bagaimanapun dengan kemajuan pesat teknologi, ini bukan lagi satu-satunya pilihan yang berdaya maju.

“Berdasarkan data Bank Dunia, Malaysia perlu mewujudkan dua juta pekerjaan berkemahiran tinggi tambahan. Ketika ini kita menghadapi kekurangan tenaga kerja profesional dengan permintaan melebihi penawaran. 

“Dengan mencapai sasaran ini, ia akan merapatkan jurang dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi,” ujarnya.

Katanya lagi, sejak penubuhannya pada 2015, MBOT telah mendaftarkan hampir 90,000 profesional yang komited untuk menyokong serta memajukan kepakaran teknologi dan teknikal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini