Malakoff, KOEN teroka peluang kerjasama

Malakoff, KOEN teroka peluang kerjasama

ANWAR Syahrin Abdul Ajib (kiri) pada menandatangani MoU Malakoff Power dengan Korea South-East Power Company (KOEN) di Four Points by Sheraton Puchong, Selangor kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) melalui anak syarikatnya, Malakoff Power Berhad (MPB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Korea South-East Power Company (KOEN) bagi menerokai peluang kerjasama.

MoU ini bertujuan untuk memudahkan proses pertukaran maklumat, perkongsian pengalaman dan amalan baik dalam operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa, termasuk pengurusan rantaian bekalan, lawatan tapak beserta bengkel teknikal dan latihan.

Pertukaran dokumen dibuat antara Naib Presiden Kanan Bahagian Penjanaan Tempatan Malakoff, Mohd Kopli Yunus dan Pengurus Besar KOEN, Chongho Jun.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul

Ajib berkata, kerjasama ini akan membolehkan Kumpulan Malakoff menggunakan teknologi baharu, meningkatkan kecekapan operasi dan menyumbang kepada keselamatan tenaga negara.

“Kerjasama ini membolehkan kami mengguna amalan baik untuk mengurus dan meningkatkan aset loji janakuasa, termasuk menyesuaikan dengan penyepaduan tenaga boleh diperbaharui

(RE) ke dalam grid dan penggunaan bahan api biojisim. 

“Kami menyasarkan lima peratus kombinasi pembakaran melalui biojisim ke dalam Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBPP) kami yang menjana 2,100 MW di Johor menjelang 2025 dan 15 peratus menjelang 2027.

Oleh itu, kepakaran ini memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat kami,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, ia juga menyokong penghijauan loji janakuasa dengan menggalakkan penggunaan semula dan mengitar semula sisa arang batu seperti menggunakan teknologi yang dipatenkan berkaitan dengan kitar semula abu bawah dan memudahkan penggunaan teknologi bersih termaju.

“Saya percaya bahawa kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja akan membolehkan kami menaikan taraf dan meningkatkan prestasi loji kami, malah juga mengukuhkan komitmen kami untuk menyalurkan tenaga tanpa gangguan kepada negara. 

“Kerjasama ini sejajar dengan usaha berterusan kami untuk meningkatkan standard operasi dan memacu penambahbaikan yang berterusan,” ujarnya.

MPB berpengalaman khususnya dalam operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa di Malaysia yang kini menguruskan asset-aset Malakoff di Johor, Perak dan Pulau Pinang. 

Pada masa yang sama, KOEN cemerlang dalam pembangunan dan operasi sumber kuasa elektrik, termasuklah loji janakuasa dan kemudahan yang berkaitan. 

KOEN ialah sebuah syarikat tenaga perbadanan awam yang ditubuhkan semasa penstrukturan semula industri tenaga Korea Selatan pada April 2001, membekalkan kira-kira 10 peratus daripada tenaga elektrik di Korea.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×