InvestKL tarik RM3.3b pelaburan bagi separuh pertama 2024

InvestKL tarik RM3.3b pelaburan bagi separuh pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: InvestKL berjaya memperoleh RM3.3 bilion dalam pelaburan pada separuh pertama tahun ini, mewujudkan 3,389 pekerjaan serantau bernilai tinggi melalui penubuhan enam hab perkhidmatan global.

Pelaburan yang diperoleh di tengah-tengah cabaran global ini mengesahkan tarikan Greater Kuala Lumpur (Greater KL) sebagai destinasi pelaburan utama, disokong oleh kemudahan menjalankan perniagaan negara, infrastruktur yang teguh, kumpulan bakat mahir dan ekosistem bertenaga yang dipacu oleh kerjasama dan inovasi.

Menurut kenyataannya, Malaysia mencatatkan kemajuan pelaburan suku pertama 2024 yang memberangsangkan sebanyak RM83.7 bilion, peningkatan 13 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Tambahnya, 47 peratus atau RM39.3 bilion daripada pelaburan itu adalah daripada sektor perkhidmatan, menandakan peralihan ke arah pelaburan berorientasikan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata, keputusan separuh pertama menunjukkan impak berterusan InvestKL dalam mengukuhkan status Greater KL sebagai destinasi pelaburan teratas di rantau ini.

“Ini sejajar dengan sasaran 2024 kami untuk menarik hab perkhidmatan global dengan tumpuan pada teknologi dan aktiviti termaju yang akan merangsang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Melalui penglibatan kami, terbukti bahawa lebih banyak mata kini tertumpu kepada Malaysia dan syarikat global tidak sabar-sabar untuk memanfaatkan kekuatan negara untuk memperdalam pelaburan mereka dan meluaskan kehadiran serantau mereka dari Greater KL,” katanya.

Jelasnya, pelaburan baharu InvestKL termasuk penubuhan hab perkhidmatan termasuk pusat data oleh pusat data global terbesar dan pembekal lokasi bersama dari Amerika Syarikat.

Selain itu, pelaburan juga dari penubuhan pusat kecemerlangan oleh pembekal label dan pembungkusan premium terbesar di dunia dari Amerika Syarikat dan pusat operasi global oleh pembekal terkemuka bagi penyelesaian perisian bersepadu dari United Kingdom.

“Pelaburan hab perkhidmatan perniagaan global Asia Pasifik (APAC) oleh syarikat pengambilan global terkemuka United Kingdom dan pusat pelaksanaan EPCI oleh syarikat penyelesaian tenaga luar pesisir global dari Jepun

“Seterusnya adalah ibu pejabat makmal digital oleh penyedia telekomunikasi terkemuka Singapura bagi teknologi inovatif dan penyelesaian mampan,” ujarnya.

Sehingga kini, InvestKL telah menarik lebih 140 hab perkhidmatan global oleh syarikat terkemuka yang menggaji lebih 27,000 eksekutif dengan purata gaji bulanan RM17,000.

Katanya, tinjauan kestabilan Malaysia dan usaha rasionalisasi baru-baru ini telah menyumbang kepada lonjakan dalam pelaburan langsung asing (FDI) diikuti dengan pelaburan yang semakin meningkat dalam teknologi digital, termasuk perisian, kecerdasan buatan generatif (Gen AI), inovasi hijau dan pusat data.

“Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak empat hingga lima peratus tahun ini, didorong oleh pelaburan yang bertambah baik dan permintaan luar, hala tuju strategik InvestKL akan memberi tumpuan kepada menarik perkhidmatan global daripada sektor utama.

“Ini seperti digital dan teknologi, kejuruteraan, teknologi kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui, sementara juga menekankan pembangunan modal insan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN