PETALING JAYA: Amal by Malaysia Airlines, cabang khusus haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan perkhidmatan sulungnya dari Johor Bahru ke Madinah kelmarin.
Menurut kenyataanya, ini merupakan penerbangan terus pertamanya ke Arab Saudi selain di pengakalannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (KUL).
Penerbangan MH162 sekali seminggu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah (MED) pada 11.35 pagi waktu tempatan.
Menurutnya, penerbangan itu menggunakan pesawat Airbus A330-200 syarikat penerbangan itu, yang menampilkan 284 tempat duduk termasuk 18 dalam kelas perniagaan dan 265 dalam kelas ekonomi.
Amal juga akan mengendalikan penerbangan seminggu sekali dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (JED) ke JHB yang akan berlepas pada 6.40 petang setiap Isnin melalui penerbangan MH155, memberi peluang kepada jemaah haji untuk melakukan perjalanan terus ke JHB dengan mudah.
Ketua Pegawai Eksekutif MAG berkata, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, penerbangan baharu ini akan memberi kemudahan kepada jemaah haji dari wilayah selatan Malaysia serta mereka yang melancong dari Singapura dan bandar-bandar Indonesia seperti Batam, Bintan, dan Riau.
“Perkhidmatan ini menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan pilihan perjalanan yang mudah dan selesa untuk jemaah haji kami yang dihargai dan kami berharap dapat meneruskan misi kami untuk menyokong keperluan agama dan rohani komuniti kami,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Kennedy Ayu berkata, pihaknya mengalu-alukan penerbangan terus sulung ini dari Johor Bahru ke Madinah dan dari Jeddah ke Johor Bahru.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk memenuhi pelbagai keperluan perjalanan penumpang kami dan merupakan langkah penting dalam misi kami untuk meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebagai hab penerbangan terkemuka dan pintu masuk utama ke wilayah Selatan Malaysia.
“Penerbangan itu bukan sahaja memudahkan jemaah umrah dan pengembara dari Johor Bahru, tetapi ia juga membuka peluang baharu untuk profesional perniagaan dan pengembara dari wilayah jiran seperti Batam, Sabah dan Sarawak,” ujarnya.-UTUSAN









