Alibaba.com lancar Anugerah KEL iktiraf bakat e-dagang B2B

Alibaba.com lancar Anugerah KEL iktiraf bakat e-dagang B2B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alibaba.com, platform terkemuka untuk e-dagang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) global, buat julung kalinya akan menganjurkan Anugerah Peneraju E-dagang Utama (Anugerah KEL) khusus untuk memberikan penghormatan kepada pembekal e-dagang terkemuka di wilayah Asia Selatan dan Tenggara.

Menurut platform itu, Anugerah KEL akan menyaksikan pembekal Alibaba.com yang layak dari tujuh negara iaitu India, Indonesia, Malaysia, Pakistan, Singapura, Thailand dan Vietnam, bersaing dalam pusingan kebangsaan di pasaran masing-masing dari Ogos hingga Oktober.

“Sebanyak 10 peserta terbaik pusingan kebangsaan akan beraksi pada peringkat akhir yang akan diadakan di Vietnam pada November, yang bakal menobatkan 3 peserta paling cemerlang dalam kalangan mereka sebagai pemenang Anugerah KEL,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pertandingan terbuka kepada pemilik, kakitangan utama dan pengurus syarikat yang menjual di Alibaba.com dengan penarafan minimum sebanyak dua bintang dan kehadiran yang aktif di platform selama sekurang-kurangnya enam bulan.

“Anugerah KEL Alibaba.com bertujuan mengumpulkan pembekal terkemuka di seluruh rantau selain memupuk pembelajaran dan penglibatan bersama. Anugerah ini juga menawarkan pentas untuk para peserta mengembangkan pengaruh mereka dalam komuniti pembeli dan pembekal global Alibaba.com, sekali gus meningkatkan ketampakan mereka dan membuka pintu kepada pelbagai peluang kerjasama,” jelasnya lagi.

Para peserta dijangka mempamerkan penggunaan Alibaba.com mereka dalam membangunkan dan mengembangkan usaha eksport mereka, bersama-sama dengan strategi yang digunakan oleh mereka untuk mencipta kecemerlangan di pasaran global.

Penilaian Anugerah KEL akan dibuat berdasarkan kandungan dan kreativiti pembentangan mereka, keberkesanan dalam komunikasi dan pencerminan jenama peribadi, pemahaman yang mendalam tentang platform Alibaba.com, serta kemahiran dalam mengemukakan soalan dan mengutarakan rancangan untuk memberikan impak dan inspirasi kepada orang lain dalam komuniti e-dagang.

Sementara itu, Ketua Asia Selatan dan Tenggara di Alibaba.com, Roger Luo berkata, Anugerah KEL Alibaba.com berfungsi sebagai platform yang penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempamerkan kepintaran dan inovasi perniagaan mereka sambil memupuk kerjasama dan pembelajaran merentas pasaran.

“Dengan menyerlahkan kisah kejayaan para peserta, kami berhasrat untuk memotivasikan banyak PKS lain yang terlibat dalam perdagangan global untuk mencapai tahap kejayaan baharu di pentas antarabangsa,” katanya.

Pembekal yang cemerlang dalam pertandingan layak untuk memperoleh faedah eksklusif termasuk slot pameran produk yang dipertingkatkan dan bonus pengiklanan kata kunci untuk menggalakkan penzahiran produk mereka di Alibaba.com.

Tiga peserta terbaik akan menerima anugerah tambahan penajaan “Perjalanan Impian” ke ibu pejabat Alibaba.com di Hangzhou, China.

Semua pemenang dari pusingan negara juga akan dilantik sebagai pensyarah Alibaba.com, sekali gus memperoleh peluang untuk menyampaikan pandangan dan pengalaman mereka dengan rakan pembekal dari rantau Asia Selatan dan Tenggara.

Pendaftaran untuk Anugerah KEL dibuka dari sekarang hingga akhir Julai 2024. Untuk pendaftaran, sila layari: https://survey.alibaba.com/apps/zhiliao/g9Iw8Uien. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×