Untung sebelum cukai SNS Network jatuh kepada RM5.11 juta

Untung sebelum cukai SNS Network jatuh kepada RM5.11 juta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SNS Network Technology Berhad (SNS Network) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5.11 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 berakhir pada 30 April 2024, 50.5 peratus lebih rendah daripada RM10.32 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

Pembekal sistem dan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu berkata, penyusutan didorong pesanan berkaitan projek kerajaan daripada saluran komersial yang lebih rendah, berbanding suku kewangan yang sama tahun lepas. 

Dalam pada suku pertama tahun kewangan 2024, SNS Network menerima pesanan membekal komputer riba untuk industri pendidikan melalui saluran komersial yang lebih tinggi.

Pada suku tinjauan, syarikat merekodkan hasil sebanyak RM213.59 juta, susut 26.3 peratus daripada RM289.84 juta setahun sebelumnya.

Pengarah Urusan SNS Network, Ko Yun Hung berkata, hal ini disebabkan oleh hasil yang lebih rendah yang direkodkan serta peningkatan dalam perbelanjaan jualan dan pengedaran disebabkan oleh kenaikan gaji dan komisen kepada pasaran dalam talian pihak ketiga.

Jelasnya, keputusan suku pertama syarikat juga merupakan fungsi kelembapan biasa dalam aktiviti perniagaan dalam industri ini disebabkan beberapa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Ramadan.

“Walaupun suku tahun lebih lemah, Lembaga Pengarah telah meluluskan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 0.25 sen sesaham berjumlah RM4.03 juta untuk tahun kewangan 2025, yang akan dibayar pada 28 Ogos depan.

“Ini menggambarkan keyakinan kami terhadap prospek bagi industri ini ke hadapan.

“Selain itu, ini diperkukuhkan lagi dengan pemindahan baru-baru ini kami dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 13 Jun lalu, kurang daripada dua tahun selepas penyenaraian syarikat,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam pada itu, Yun Hung berkata, SNS Network telah menerima pesanan pembelian bernilai RM85.52 juta untuk kecerdasan buatan (AI) super servers daripada salah satu platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan.

“Tempahan itu untuk membekalkan AI super server ke pusat data yang menempatkan server pelanggannya di Johor Bahru.

“Penghantaran untuk server berprestasi tinggi yang mampu menerima permintaan AI, pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam dijadualkan pada Ogos depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×