Suzuki Gixxer 250SF: Rupa sudah cukup memadai? 

Suzuki Gixxer 250SF: Rupa sudah cukup memadai? 

Penampilannya meminjam skim warna pasukan lumba MotoGP 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELENGKAPKAN empat model daripada Suzuki yang dihasilkan untuk pasaran tempatan, Gixxer 250SF iaitu varian 250 selinder tunggal tetapi mempunyai ‘fairing’ penuh.

Apabila dinyatakan mempunyai ‘fairing’ penuh, ini sudah tentu bermaksud motosikal ini adalah dalam versi ‘sport’. Dalam erti kata kasarnya, motosikal-motosikal versi ‘sport’ ini seharusnya lebih agresif dan sekurang-kurangnya mempunyai aturan suspensi yang berlainan dengan versi jalanan atau versi ‘naked’.

Setelah empat hari menunggang Gixxer SF ini, maka inilah yang dapat saya rumuskan:

REKA BENTUK (KOSMETIK)

Inilah kekuatan utama Gixxer 250SF ini. Rupa luarannya diperhebatkan lagi dengan skim warna Suzuki MotoGP iaitu warna perak dan biru langit. Ditambah pula dengan jenama Ecstar, iaitu satu jenama minyak pelincir yang dihasilkan ‘khas’ untuk jentera Suzuki, serta Ecstar juga adalah penaja besar yang sentiasa bersama Suzuki dalam kancah MotoGP.

Lampu hadapannya pula agak menarik dan tidak terlalu konvensional. Walaupun tidak ada jalur LED yang mampu menampakkan ciri-ciri moden motosikal masa kini, namun suluhannya tidak mengecewakan sewaktu menunggangnya dalam keadaan malam gelap.

PENGENDALIAN

Jika faktor penunggangan adalah faktor yang perlu anda perlu diambil kira ketika membuat pilihan pembelian atau menandatangani kontrak jual beli, anda tidak tersalah pilih. 

Walau tiada nama-nama jenama besar yang dikaitkan pada sistem suspensi dan tayar-tayar yang digunakan oleh Gixxer 250SF ini, namun melibas selekoh-selekoh tajam kiri dan kanan memberikan keseronokan. Ini adalah kerana, walau suspensinya sedikit keras, tetapi ia tidaklah sampai menyakitkan tulang belakang atau bahagian belakang bahu anda.

Cengkaman tayar berjenama MRF dari India ini ternyata berprestasi juga walau saya menggasak selekoh-selekoh sedikit agresif. Ada ketikanya saya terpaksa merentas garisan-garisan putih atas jalan raya, tetapi ia masih mencengkam dan tidak memberikan maklum balas yang menggelunsur atau bergoyang.

PRESTASI KEUPAYAAN ENJIN

Di sinilah saya merasai kekecewaan yang agak tinggi untuk model Suzuki Gixxer 250SF.  Sebelum kita pergi lebih jauh, terlebih dahulu biar saya menjelaskan bahawa enjinnya adalah satu selinder (tunggal), empat lejang, sejukan minyak, SOHC dan kuasa maksima enjinnya adalah 26.5ps@9300rpm. Sementara tork maksimanya adalah 22.2Nm@7300rpm.

Ketika anda memerah enjinnya untuk mula bergerak daripada keadaan statik, saya mendengar deruman enjinnya hampir serupa kepada bunyi enjin Suzuki FXR150 FI dahulu. Model FX-R ketika diperkenalkan pada pasaran tempatan seawal 1998. 

Saya mengambil kira faktor enjin empat lejang, berselinder tunggal, sistem pengagihan bahan bakar melalui suntikan elektronik dan sistem ekzos yang mematuhi piawaian bunyi, penjagaan alam sekitar pada tahap Euro 5. Kesemua ini, banyak menghadkan keupayaan sebuah enjin kecil seperti Gixxer 250SF. 

Walau bagaimanapun, bagi seseorang yang berevolusi daripada zaman motosikal dua lejang, ke empat lejang, dari zaman karburator ke zaman suntikan bahan api, sehinggalah dari teknologi CDI ke teknologi ECU, saya merasakan prestasi Gixxer 250 SF ini agak terlalu rendah dan merasakan ia seperti sebuah jentera 150cc dan bukannya 250cc.

Akan tetapi, bagi seseorang yang baru melangkah kaki ke alam motosikal, kebolehan untuk memiliki jentera 250 pada kadar harga yang sangat murah (daripada RM15,000).  Suzuki Malaysia menghebahkan dalam laman web rasmi mereka bahawa Gixxer 250SF ini mampu mencecah jarak sehingga 400km dengan hanya setangki penuh (12 liter) petrol. 

KESIMPULAN

Saya merasakan sedikit berbelah bahagi untuk menyampaikan hasil tunggang uji saya terhadap jentera ini. 

Gixxer 250 versi ‘naked’ sebelum ini, dirasakan tiada beza prestasinya dengan Gixxer 250 SF ini. Namun, saya merasakan 250SF ini agak sedikit ‘lemah’ berbanding versi ‘naked’ itu. Mungkin penambahan ‘fairing’ penuh ini turut mempengaruhi prestasi penghantaran kuasanya.

Faktor harga jualan, penjimatan bahan api yang sangat cemerlang, keupayaan pengendalian yang baik untuk kegunaan harian pergi dan balik kerja serta kos jualan barang gantian enjin adalah perkara yang sepatutnya menjadi ukuran pada para pembeli.

Akan tetapi, sebagai seorang ‘biker’, rupa bentuk, rekaan serta ungkapan ‘seindah pandangan mata’, turut serta menjadi faktor utama di dalam proses membuat keputusan.

Suzuki Gixxer 250SF ini memberikan gambaran bahawa ia juga mampu ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan lain -lain model 250cc tempatan. Ini adalah kerana skim warna yang digunakan ternyata menggunakan skim warna yang sama dengan pasukan Lumba Motosikal GP yang menjadi juara MotoGP pada tahun akhir mereka menyertainya iaitu 2022 dan lengkap dengan logo Ecstar iaitu pembekal pelincir khas untuk jentera Suzuki.

Sebagai penutup, apakah yang mampu saya rumuskan untuk model ini?  Secara jujurnya, saya harus meminta pada bakal pembelinya, fikirkan dulu secara rasional mana yang lebih penting?

Sekiranya kelajuan dan prestasi enjin menjadi pilihan utama anda, ini bukanlah untuk mu.

Namun, sekiranya anda memerlukan sebuah ‘kuda besi’ untuk anda gunakan setiap hari, jimat minyak, mudah dikendalikan serta tidak juga buruk pada mata memandang, Suzuki Gixxer 250SF ini sememangnya sesuai untuk anda.

Cuma pesanan saya, apabila selesai melepasi jangka waktu ‘berpantang’, silalah cari aksesori untuk menggantikan pelindung angin hadapannya yang bukan sahaja buruk, tetapi tidak berfungsi langsung dari segi rekaan dan faktor kegunaannya. Perendam bunyi ekzos atau lebih dikenali sebagai muffler, juga patut diganti dengan model-model yang sesuai di pasaran luarnya. ‘Muffler’ standard keluaran kilangnya agak terlalu besar dan berat bagi kapasiti motosikal se­pertinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN