PETALING JAYA: Cadangan penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi organisasi antara kerajaan, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) dijangka dapat mendorong kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas dan mengurangkan kebergantungan terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kumpulan blok ekonomi BRICS juga tidak bergantung kepada penggunaan dolar AS dalam urusan transaksi perniagaan antarabangsa.
Menurutnya, kebergantungan negara-negara lain termasuk Malaysia pada dolar AS boleh membuatkan kestabilan ekonomi mereka terkesan dengan turun naik nilai dolar.
“Oleh itu, ini merupakan peluang yang terbaik bagi Malaysia untuk memanfaatkan penyertaan dalam BRICS bagi dalam mempertingkatkan penggunaan ringgit dengan rakan dagang global.
“Malah rakan dagang penting negara kita iaitu China yang juga menyertai BRICS dapat mendorong peningkatan penggunaan ringgit, ekoran hampir 26 peratus transaksi perdagangan dengan negara itu menggunakan ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, penyertaan dalam BRICS membuka peluang kepada Malaysia untuk mempelbagaikan rizab mata wang asing, malah dapat mengurangkan risiko berkaitan dengan kebergantungan kepada satu mata wang tunggal.
Ujarnya, lebih banyak negara dijangka menyertai BRICS dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, sekali gus kebergantungan terhadap ekonomi AS diyakini berkurangan.
“Lebih banyak penyertaan negara-negara lain, khususnya negara membangun dan blok timur menyertai BRICS, akan memberi kesan kepada kedudukan dolar AS.
“Namun begitu, ia dapat memberi manfaat terhadap pertumbuhan ketara terhadap sektor utama negara pengeluaran minyak dan gas serta eksport kelapa sawit kerana tidak dipengaruh oleh ekonomi AS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan dalam BRICS juga dapat menarik lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor tersebut, termasuk sektor pembuatan, teknologi dan dapat mempengaruhi pemindahan teknologi dan inovasi terbaharu kepada Malaysia.
“Ini akan menawarkan lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang tenaga dan sumber asli yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata,
penyertaan Malaysia dalam BRICS meningkatkan peluang pelaburan dan perdagangan di masa hadapan dengan saiz pasaran dan ekonomi lebih besar.
“BRICS boleh menjadi pengimbang kepada hegemoni kuasa besar seperti AS. Walaupun masih berpengaruh dari segi politik, AS sudah pun kehilangan dominasi global dari segi ekonomi dan teknologi,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, kestabilan terhadap ekonomi Malaysia dan ringgit tidak terancam, selagi tiada integrasi penggunaan mata wang tertentu, maka risiko penghakisan kedaulatan ekonomi negara tidak timbul. – UTUSAN