Sektor perbankan kekal berdaya tahan

Sektor perbankan kekal berdaya tahan

MBSB Bank.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. mengekalkan penarafan ‘overweight’ pada sektor perbankan, mengambil kira keputusan kewangan suku pertama tahun kalender 2024 dan percaya pelabur mungkin terus melihat peluang kerana daya tahan pendapatannya kekal tinggi.

Bank pelaburan itu berkata, kebimbangan kelihatan lebih mereda berbanding tahun-tahun lalu, walaupun beberapa bank yang lebih kecil masih kelihatan masih mengemudi melalui cabaran.

“Kami menjangkaka Kadar Dasar Semalam (OPR) mendatar pada 3.0 peratus sehingga akhir 2024, yang boleh dilihat sebagai menyediakan lebih kestabilan untuk industri serta bank dalam jangka masa terdekat.

“Selain itu, hasil dividen sebanyak enam hingga tujuh peratus masih boleh ditawarkan oleh nama tertentu dengan pulangan atas ekuiti (ROE) yang mampan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kenanga berkata, suku pertama 2024 berakhir dengan positif, dengan tujuh daripada 10 keputusan berada dalam jangkaan selain tiga bank melaporkan angka yang lebih baik daripada jangkaan.

Katanya, CIMB Bank mampu menunjukkan prestasi keseluruhan yang lebih tinggi dengan trajektori yang kukuh ke arah membina ROE yang lebih tinggi.

“Sementara itu, AmBank dengan penarafan ‘outperform’ (OP) dengan harga sasaran (TP) RM5.20 menutup tahun kewangan 2024 dengan lebih kukuh hasil daripada keperluan kos kredit yang lebih sederhana. 

“MBSB (under perform; TP: RM0.59) mencatat prestasi yang lebih baik didorong pendapatan berasaskan yuran yang lebih tinggi daripada jangkaan yang diperkenalkan daripada penyepaduan MIDF Investment Bank Bhd. ke dalam kumpulan,” ujarnya.

Kenanga berkata, sektor pilihan utamanya untuk suku kedua 2024 termasuk CIMB Bank yang telah dapat mencapai landasan baharu dalam ROE pada kira-kira 11 peratus yang dijangka dapat mengekalkannya dalam jangka panjang dipacu kehadiran yang kukuh di pasaran tempatan dan serantau.

“Selain itu, hasil dividennya berada dengan baik ke paras pertengahan enam peratus pada titik harga semasa, yang merupakan tertinggi dalam kalangan tiga bank teratas. 

“RHB Bank juga digemari kerana dividennya yang kami unjurkan untuk menjadi peneraju (tujuh hingga lapan peratus) di kalangan rakan bank setaranya,” ujarnya.

Sementara itu, firma berkata, syarikat bersekutunya,  Boost Bank tidak lama lagi akan memasuki domain awam yang boleh menarik minat yang lebih besar dalam jangka masa terdekat.

“Bagi bank bermodal kecil, Alliance Bank Malaysia Berhad kekal kegemaran kami kerana asas kukuhnya yang setanding dengan syarikat bermodal besarnya.

“Selain itu, tahap  akaun semasa dan simpanan (CASA) terkemukanya mungkin memberikan kelincahan kumpulan untuk mengimbangi margin faedahnya dengan strategi pemerolehan bahagian pasaran,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN