Sara 10 anak dengan produk kuah kacang turun temurun

Sara 10 anak dengan produk kuah kacang turun temurun

NOR Aziyah Shohor memulakan perniagaan perniagaan Kuah Kacang Segera Nor Aziah pada 2000 bagi menyara kehidupan bersama 10 orang anaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBEKALKAN resepi kuah kacang turun temurun, siapa sangka perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan mampu untuk menyara kehidupan Nor Aziyah Shohor dan 10 anaknya selepas kematian suami tercinta. 

Menurut pengasas Nor Aziyah Enterprise itu, dia berusaha menghasilkan produk Kuah Kacang Segera Nor Aziah setelah kehilangan punca pendapatan utama dan tidak menyangka usahanya itu berubah menjadi punca rezeki utama.  

Ujarnya, perniagaan yang dimulakan sejak tahun 2000 itu pada awalnya diusahakan secara kecil-kecilan di rumah dan mula berkembang selepas mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian. 

“Bantuan daripada agensi itu telah memudahkan aktiviti pemprosesan kuah kacang dengan menyediakan bengkel untuk menyiapkan tempahan yang semakin meningkat terutamanya di musim perayaan. 

“Pada peringkat awal, hanya guru-guru sekolah menjadi pelanggan tetap dan disebabkan produk ini mula dikenali masyarakat setempat maka saya mula menghantar ke kedai runcit berdekatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut ibu tunggal itu, dia bersyukur dapat memastikan setiap keperluan keluarga cukup terutamanya pendidikan anak-anak hanya dengan mengusahakan produk kuah kacang tersebut.

“Ketika itu memang kehidupan saya sukar tambahan pula mempunyai 10 orang anak yang masih kecil dan perlukan perhatian serta perbelanjaan juga amat besar.

“Namun, saya percaya akan ada rezeki untuk kami sekeluarga dan tidak menyangka produk kuah kacang ini mampu menampung kehidupan kami selama ini,” ujarnya.

Nor Aziyah berkata, kini, kuah kacang segera itu boleh didapati di sekitar daerah Perak antaranya Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar dan juga Lembah Kinta. 

“Saya juga mengikut peredaran teknologi dan mula menjual produk kuah kacang segera secara dalam talian menerusi platform Instagram,” ujarnya.

Ujarnya, permintaan terhadap kuah kacang agak luar biasa terutamanya ketika menghampiri musim perayaan di mana dia mampu untuk mencatatkan jumlah keuntungan lebih daripada RM4,000 sebulan.

Dalam pada itu, Aziyah berkata, selain menjadi pendapatan utama keluarganya, produk itu juga mampu menjana pendapatan penduduk setempat yang bekerja di bengkelnya.

“Bukan mudah untuk berjaya kerana melalui usaha yang gigih barulah seseorang itu akan memperoleh kejayaan.

“Anak- anak adalah penguat semangat untuk saya terus berjaya kerana dalam masa sama, saya mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membesarkan dan memberikan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak,” katanya.

Permintaan yang tidak putus-putus daripada pelanggan setia menyebabkan delegasi Kuah Kacang Nor Aziyah masih bertahan sehingga sekarang.

“Walaupun terdapat perubahan harga daripada RM3 kepada RM5, namun dianggarkan lebih 500 pek kuah kacang dapat dijual dalam sebulan,” jelasnya. 

Aziyah juga berharap agar perniagaannya dapat terus maju kerana yakin produk keluaran kampung juga mampu bersaing dengan produk-produk lain di luar sana.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN