Ringgit dijangka sekitar RM4.67 hingga RM4.70 bulan ini - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka sekitar RM4.67 hingga RM4.70 bulan ini

ringgit
Ringgit didagang lebih tinggi berbanding dolar berikutan keyakinan rundingan perdagangan Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka didagangkan sekitar RM4.67 hingga RM4.70 pada bulan ini, berikutan faktor luaran masih lagi menjadi faktor penentu kepada tren pengukuhan ringgit, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pada minggu ini, data-data ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dilihat lemah, menjadikan jangkaan penurunan kadar faedah semakin banyak diperkatakan.

Ujarnya, data seperti sentimen perniagaan iaitu Indeks ISM untuk sektor pembuatan telah merosot di bawah paras 50 mata untuk dua bulan berturut-turut.

“Ini menandakan sektor pembuatan dilihat lembap dan berkemungkinan menjejaskan permintaan buruh. Perkara ini jelas terbukti apabila pembukaan peluang pekerjaan kepada 8.059 juta pada April yang lalu berbanding 8.355 juta pada bulan sebelumnya.

“Selain itu, jumlah pekerjaan yang diwujudkan dalam sektor swasta menurun ke paras 152,000 pada Mei berbanding 188,000 pada bulan sebelumnya.

“Oleh itu, pihak Rizab Persekutuan (Fed) berkemungkinan akan mengubah pendirian mereka apabila mereka bermesyuarat minggu hadapan untuk menentukan kadar faedah di AS,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pada penutup dagangan semalam, ringgit mengukuh kepada 4.6930/6960 berbanding dolar AS daripada 4.6940/6970 pada awal dagangan.

Sementara itu, Mohd. Afzanizam berkata, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) menandakan potensi kenaikan nilai ringgit yang jelas.

“Ini berikutan kemasukan FDI akan mewujudkan permintaan ringgit, sekali gus mampu untuk melonjakkan nilai mata wang tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengukuhan ringgit kerana dolar AS melemah berikutan data terkini menunjukkan kadar inflasi di AS dalam pola menurun termasuk juga perbelanjaan pengguna.

Jelasnya, ini mengukuhkan jangkaan Fed akan menurunkan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini, sekali gus menyebabkan kejatuhan nilai dolar AS.

“Ringgit dijangka akan berterusan mengukuh sekitar 4.67 hingga 4.69 pada bulan ini.

“Kemasukan FDI akan mengukuhkan lagi ringgit dan akan kekal mengukuh dalam separuh kedua kerana secara asasnya, ringgit adalah di bawah nilai sebenar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN