Rasionalisasi RON95 hanya dibuat selepas penyasaran subsidi diesel stabil - Utusan Malaysia

Rasionalisasi RON95 hanya dibuat selepas penyasaran subsidi diesel stabil

AMIR Hamzah (kanan) ketika merasmikan Simposium Sasana 2024 di Sasana BNM, di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya akan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 setelah penyasaran subsidi diesel sudah stabil, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, perkara yang penting yang buat masa ini adalah memikirkan implikasi yang berbangkit daripada pelaksanaan rasionalisasi diesel.

Katanya, langkah rasionalisasi subsidi merupakan sebahagian daripada agenda reformasi di bawah rangka kerja Ekonomi Madani dan ia penting untuk membina Malaysia yang lebih baik pada masa depan.

“Ini kerana, kita mahu dapatkan pulangan fiskal lebih baik agar boleh melabur semula kepada benda-benda yang penting bagi membina negara.

“Kita faham perlu buat rasionalisasi subsidi dan kita bermula dengan diesel. Buat masa sekarang, fokus kepada rasionalisasi subsidi diesel. Bila sudah stabil kita tengok apa yang kita boleh buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 selepas menyampaikan ucaptama di Simposium Sasana Bank Negara Malaysia (BNM) 2024 di sini, semalam.

Menurut Amir Hamzah, usaha kerajaan kini tertumpu kepada langkah meningkatkan kefahaman rakyat mengenai sebab rasionalisasi subsidi diesel sambil menggalakkan mereka yang layak untuk memohon bantuan Budi Madani.

“Langkah penyasaran subsidi diesel dilihat telah mula membuahkan hasil, apabila jumlah ketirisan diesel di stesen-stesen minyak di sempadan negara dilihat telah berkurangan.

“Kita masih mengumpul data namun setelah berbincang dengan syarikat-syarikat minyak, jumlah (pengisian diesel) di stesen sempadan jatuh. Jadi, kita nampak inisiatif ini sudah berjaya mengurangkan ketirisan,” ujarnya.

Sementara itu, bagi mengulas keluhan pengendali bas ekspres menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perkhidmatan disebabkan peningkatan mendadak kos operasi secara mengejut disebabkan kenaikan harga diesel, beliau berkata, mereka sudah berada di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang berjalan sejak 2013.

“Jika mereka boleh menunjukkan ada kenaikan dari segi penggunaan, kita boleh berbincang dengan kementerian-kementerian yang berkenaan.

“Mekanisme sudah ada daripada dahulu lagi dan kami terbuka untuk mengadakan perbincangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN