PETALING JAYA: PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) memperkenalkan kaedah pembayaran yang lebih fleksibel dengan pembayaran premium insurans kenderaan secara tiga kali ansuran melalui aplikasi bayar kemudian, ATOME semasa memperbaharui insurans di PUSPAKOM.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, inisiatif yang diperkenalkan adalah untuk memudahkan orang ramai mendapatkan insurans kenderaan.
“Kaedah pembayaran ansuran ini dapat meringankan beban orang ramai khususnya pemilik kenderaan apabila mereka memperbaharui insurans kenderaan mereka dengan PUSPAKOM tanpa menjejaskan perlindungan dan tiada caj tambahan dikenakan,” katanya dalam kenyataan.
Pelanggan hanya perlu melakukan empat langkah mudah untuk perbaharui insurans dengan PUSPAKOM.
1. Dapatkan sebut harga percuma dari PUSPAKOM di https://www.puspakom.com.my/motor-insurance-renewal-2/
2. Pilih pelan insurans mengikut kesesuaian.
3. Kunjung mana-mana cawangan PUSPAKOM di seluruh negara atau ke Wisma DRB-HICOM untuk memperbaharui insurans.
4. Muat turun aplikasi ATOME dan bayar melalui ATOME. *Pengguna baharu boleh menikmati diskaun RM15 bagi transaksi pertama.
Sebagai pusat pemeriksaan kenderaan, PUSPAKOM juga merupakan pusat sehenti dengan turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti pembaharuan insurans dan cukai jalan.
Perkhidmatan di bawah satu bumbung ini secara tidak langsung dapat menjimatkan masa pelanggan dalam menguruskan kenderaan mereka.
PUSPAKOM menawarkan perkhidmatan perbaharui insurans di semua 54 cawangan PUSPAKOM di seluruh negara dan juga di ibu pejabat yang berlokasi di Wisma DRB-HICOM, Shah Alam, Selangor.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-2052 7463 atau e-mel [email protected]. – UTUSAN