DALAM variasi model kenderaan utiliti sukan (SUV) edaran Proton, X50 lebih diminati dan dilihat lebih banyak di jalan raya negara ini. SUV jenis kompak ini ternyata menepati keinginan ramai, terutamanya pada para eksekutif muda. Selain mempunyai imej ini, X50 dikatakan mempunyai sistem suspensi yang lebih baik daripada model varian X yang lain.
X50 diperkenalkan kira-kira empat tahun yang lalu, selepas X70 yang lebih menyasarkan pemilik lebih dewasa dan mempunyai ahli keluarga yang kerap dibawa bersama. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 110,000 unit X50 telah berjaya dijual di negara-negara yang mempraktikkan kedudukan pemandunya di bahagian kanan.
Untuk tahun ini, X50 dipertontonkan sebagai model X50 RC (running change) yang dilancarkan baru-baru ini.
REKA BENTUK FIZIKAL
Terdapat pelbagai pihak yang menjangkakan Proton akan memasarkan X50 yang diberikan perubahan pada bahagian gril hadapan seperti yang telah diperkenalkan oleh Geely dengan model terbaharu mereka iaitu Binye Cool.
Varian Geely ini yang merupakan ‘kembar’ kepada X50 telahpun mendapat peningkatan dari segi kosmetik dan juga sedikit pembaharuan pada bahagian dalaman kabin. Namun, ia hanya tinggal impian. X50 yang diperkenalkan pada 4 Jun lalu ternyata masih mengekalkan rekaan asal X50 yang dikenali umum. Mungkin varian Binye Cool akan diperkenalkan sebagai model kedua X50 atau X50 v2.
PENAMBAHBAIKAN
Proton menegaskan, penambahbaikan pada X50 ini ialah pada sistem bantuan pemanduan elektroniknya, terutama pada bahagian peningkatan mutu visual kamera 360. Imej yang tertera pada skrin infotainment yang juga menerima penambahbaikan (skrin yang lebih besar iaitu 10.3 inci) membolehkan X50 ini dipandu dengan menutup cermin pandangan hadapan dan tepi.
Saya telah memandu uji X50 ini untuk melalui ‘lorong-lorong’ yang disusun dengan kon tanpa perlu melihat di luar kenderaan. Begitu juga sesi pengunduran X50 dengan hanya menggunakan imej di skrin TFTnya. Saya mampu menavigasi X50 dan mampu melihat dengan jelas ‘halangan-halangan’ yang telah diletakkan dalam sesi pandu uji ini.
Sistem kamera X50 ini juga ditambah untuk mengurangkan faktor titik buta iaitu bahagian- bahagian yang tidak dapat dilihat dengan cermin sisi atau cermin pandang belakang, dengan keupayaan titik buta tersebut dapat dilihat melalui paparan visual pada skrin infotainment ini.
Menyebut tentang sistem infotainment dalam Proton X50 terbaharu ini, selain skrinnya lebih besar, prosesor unit ini adalah jenis “dual quad-core” dengan 2GB RAM dan mampu menyimpan data sebanyak 64 GB.
Namun begitu, entah kenapa, Proton masih gagal membekalkan pemiliknya dengan Android Auto atau Apple CarPlay. Dari segi peningkatan mutu kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH), model 2020 dahulu kerap diberitahu tentang gangguan bunyi angin pada tingkap pintu bahagian pemandu, terutama ketika mencapai kelajuan melebihi 120 kilometer sejam (km/j).
Beberapa bahagian dalaman X50 yang baharu ini telah ditambah bahan kedap bunyi supaya ruang kabin tidak terganggu dengan bunyi tayar di atas jalan raya atau gangguan bunyi gegaran kecil dalam pemanduan.
X50 baharu ini juga mempunyai keupayaan untuk membuka bonet belakang dengan menekan satu tombol dari dalam kenderaan. Fungsi sensor kaki untuk membuka but belakang tidak pula disediakan dalam model terbaru ini.
Menghidupkan enjin dan pendingin hawa kereta juga kini boleh dilakukan dengan hanya menggunakan kunci penggera. Fungsi yang bukanlah sesuatu yang baharu dalam pasaran automotif tempatan tetapi ia merupakan penambahbaikan yang terbaharu dari Proton.
KESIMPULAN
Secara jujurnya, penambahbaikan yang diperkenalkan untuk model X50 ini agak membingungkan. Di kala umum mempunyai akses terhadap apa yang berlaku secara global, pasaran tempatan telah mengetahui kewujudan atau pelancaran varian Geely terutamanya, yang sememangnya diketahui mempunyai pemilikan dalam Proton.
Harga jualan yang terendah untuk versi Standard iaitu RM86,300 sehinggalah harga jualan versi Flagship pada RM113,300. Untuk menambah lagi keupayaannya dalam pasaran, Proton menawarkan lima tahun jaminan tanpa had jarak pemanduan, lima tahun pakej data 1GB sebulan, serta enam kali servis dengan kadar percuma untuk kos buruh.
Tidak cukup tawaran-tawaran tersebut sahaja, Proton menawarkan penjimatan diskaun sehingga RM7,000, jaminan nilai jualan balas (trade in) bernilai RM1,500, penambahan fungsi-fungsi bantuan pemanduan elektronik bernilai RM6,000 yang membawa kepada keseluruhan jumlah RM14,500 penjimatan kepada 5,000 tempahan pertama sehingga 31 Julai 2024.
Penambahbaikan yang agak sedikit tanpa memberikan perubahan pada bahagian fizikal
dirasakan satu tindakan yang agak pelik. Para peminat atau pembeli mungkin akan menunggu sahaja model jelmaan Binye Cool yang hampir pasti dilancarkan sebagai versi Proton X50 terbaharu.
Dengan tiada lagi ura-ura model tersebut akan diperkenalkan di Malaysia, pasaran tempatan mungkin akan berpuas hati dengan varian X50 baharu ini. Atau mungkin pasaran akan lebih menumpukan pada varian X70 yang lebih besar kabinnya dan lebih gah untuk dipandu? Kita tunggu dan lihat.-UTUSAN










