Pelarasan diesel: Harga rumah mampu milik seliaan KPKT tidak terjejas - Utusan Malaysia

Pelarasan diesel: Harga rumah mampu milik seliaan KPKT tidak terjejas

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad melapah daging korban pada Program Ibadah Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia, Cyberjaya di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited memastikan harga rumah mampu milik di bawah kendalian mereka tidak terjejas susulan pelarasan harga diesel baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, harga rumah mampu milik itu sebenarnya tertakluk kepada dasar ditetapkan kerajaan iaitu di bawah RM300,000 seunit.

Beliau berkata, buat masa ini, harga RM300,000 seunit itu akan kekal dan tidak terkesan dengan kenaikan harga diesel baru-baru ini.

“Kita jaga (harga) sebab ia ada dasar dan harga telah ditetapkan malah, kita akan kawal secara terus.

“Antara projek perumahan mampu milik di bawah seliaan KPKT termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), kediaman di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Program Perumahan PR1MA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ibadah Korban Sentuhan Kasih P113 Sepang bersama KPKT dan Bomba 2024, di sini hari ini.

Katanya, selain projek perumahan itu, pihaknya turut mengawal harga rumah mampu milik di bawah seliaan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN).

Aiman berkata, pihaknya tidak dapat mengawal harga rumah di pasaran terbuka kerana ia tertakluk kepada penawaran dan pembelian.

“Kalau ada kenaikan mereka perlu bawa isu berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN). Kita hanya kawal harga rumah mampu milik sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham) menjangkakan harga bahan binaan meningkat 10 hingga 15 peratus susulan pelarasan subsidi diesel baru-baru ini.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran.

Pelaksanaan itu termasuk bantuan bersasar untuk sektor logistik dan pengagihan bantuan tunai Budi Madani yang bermula 10 Jun lalu.

Bagaimanapun, penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan sektor pengangkutan yang membawa bahan binaan (penghantaran). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN