RUANG tamu dan bilik tidur biasanya merupakan ruang untuk berehat dan bersantai. Selain dua ruang itu, ruang dapur juga penting dalam sesebuah kediaman.
Kabinet dapur dan ruangan makan yang berfungsi sebagai ruang penstoran barangan keperluan harian sama ada perkakas dapur, tempat letak peti ais, ruangan memasak dan sebagainya.
Oleh itu, ringkasnya setiap ruang rumah mempunyai fungsi yang tersendiri. Sebagaimana kita menginginkan ruang rehat yang selesa begitu juga keinginan untuk ruang dapur kita nampak lebih kemas dan praktikal.
Justeru itu, bagi mewujudkan ruangan dapur yang lebih kemas dan praktikal, pemilihan kabinet dapur memainkan peranan yang penting untuk ia tahan lebih lama dan mudah untuk digunakan.
UKURAN
Pertama sekali, anda perlu dapatkan ukuran yang tepat untuk membina kabinet dapur di ruang dapur anda.
Buat lukisan skala ruang dapur termasuk pelan binaan kabinet yang diinginkan. Pelan binaan kabinet boleh diperolehi melalui buku, kedai pekakas dan internet. Sebaiknya ukur kayu dua kali untuk mendapatkan ukuran tepat.
MATERIAL
Adalah penting untuk anda mengenali jenis material kabinet dapur sebelum anda pasang. Ramai suri rumah atau bakal penghuni rumah baharu pasti mempunyai gambaran bagaimana reka bentuk dapur idaman mereka sebelum tukang kabinet menunjukkan reka bentuk kabinet dapur kepada mereka.
Jadi, anda sebenarnya perlu tahu material yang digunakan untuk kabinet dapur supaya anda boleh memilih yang lebih tahan lama dan memudahkan penggunaan.
Antara material yang biasa menjadi pilihan ramai ialah melamine ABS, laminate, 3G, 4G, solid nyatoh dan juga aluminium. Semua material ini ada kelebihan masing-masing. Pilih lah mengikut kesesuaian tempat, keadaan, minat dan juga bajet anda.
SUMBER CAHAYA
Sumber cahaya yang cukup berfungsi mewujudkan ilusi dapur yang luas.
Aturkan sumber pencahayaan di bawah kabinet dinding bagi memastikan kemasukan cahaya yang optimum. Elak menggunakan lampu candelier kerana ia tidak sesuai dipasang di ruang dapur yang sibuk.
SENARAIKAN KOS
Selepas menentukan jenis material dan rekaan, berikan maklumat terperinci kepada material pilihan untuk anggaran kos keseluruhan kepada kontraktor yang anda pilih. Di sini anda boleh mendapat gambaran kos keseluruhan dan melaraskan mengikut bajet anda.
SENARAI BEKALAN
Buat satu senarai bekalan yang diperlukan, termasuk dimensi tepat kepingan material agar tidak terlepas pandang, selain menjimatkan masa, tenaga dan kos binaan.
Seeloknya, dapatkan bekalan secara terus daripada pembekal bahan atau material bagi mengurangkan jumlah kos keseluruhan.
BUAT TINJAUAN
Kunjungi pembekal material atau ruang pamer kabinet dapur berhampiran agar anda boleh membuat perbandingan kualiti dan harga.
Jika anda merancang untuk menggunakan pelan reka letak sendiri, anda boleh memilih jenis kayu yang lebih murah. Pilih berdasarkan warna dan kemasan yang diingini. Majalah, blog, dan laman web juga boleh memperluaskan carian.
SOKET ELEKTRIK
Anda perlu memikir dengan sebaiknya di mana yang sesuai untuk anda pasangkan soket elektrik supaya tidak akan mendatangkan masalah di kemudian hari.
Pastikan jarak soket sekurang-kurangnya satu meter dari sumber air dapur.-UTUSAN










