MITI perkenal insentif khas untuk pusat data AI - Utusan Malaysia

MITI perkenal insentif khas untuk pusat data AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memperkenalkan insentif khas bagi penubuhan pusat data teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, pusat data AI membawa limpahan ekonomi yang sangat jelas dan memberangsangkan kepada negara.

Jelasnya, pelaburan dalam infrastruktur teknologi termaju dan pusat data AI berupaya menyokong komitmen kerajaan Madani untuk mempercepatkan agenda transformasi digital negara dalam segenap aspek, di samping melancarkan lagi usaha peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

“Sehubungan itu, Majlis Pelaburan Negara telah bersetuju supaya MITI melalui agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggubal sebuah kerangka insentif, termasuk melalui mekanisme penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi memudahcara pelaburan pusat data AI di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X rasmi milik beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah meluluskan pelaburan di dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2023.

“Ini sekali gus memberikan 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan Malaysia harus bergerak pantas membina ekosistem yang mantap bagi memacu perkembangan dan penggunaan teknologi AI dalam era pasca normal pada masa ini.

Anwar turut menggariskan empat teras ekosistem berkenaan iaitu tadbir urus AI untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik di samping pemangkin AI melalui Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) bagi memastikan penyelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.

Selain itu, pembangunan industri AI melalui kerjasama dengan syarikat multinasional dan keempat, bakat AI yang merangkumi profesional dan individu berkemahiran melalui program pendidikan dan latihan serta kerjasama industri dengan ahli akademik.

Beberapa gergasi teknologi juga telah menyatakan komitmen mereka di Malaysia seperti pelaburan Google bernilai RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk menempatkan pusat data dan wilayah awan Google pertama di Malaysia.

Malaysia akan menyertai ‘cloud region’ atau wilayah awan bersama 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN