Hotel Paya Bunga sasar pendapatan RM24 juta

Hotel Paya Bunga sasar pendapatan RM24 juta

HOTEL Paya Bunga, Kuala Terengganu merupakan hotel patuh syariah yang pertama di Terengganu.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hotel Paya Bunga, milik penuh kerajaan negeri Terengganu menyasarkan pendapatan sebanyak RM24 juta menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan pada tahun ini.

Pengurus Besarnya, Abdul Hadi Alias berkata, sasaran itu adalah peningkatan hampir RM4 juta berbanding perolehan yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu RM19.8 juta.

Menurutnya, Hotel Paya Bunga positif dapat mencapai sasaran itu memandangkan setakat Mei tahun ini, hotel tersebut telah berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM8.3 juta.

“Selain memfokuskan kepada pakej jualan bilik penginapan, sewaan ballroom dan dewan seminar, kami juga akan terus memperhebatkan lagi promosi pakej istimewa untuk datang ke restoran kami.

“Hotel Paya Bunga juga meneroka cabang perniagaan baharu iaitu perkhidmatan katering untuk penyediaan makanan di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dan beberapa acara jamuan besar melibatkan Istana Syarqiyyah.

“Perniagaan baharu ini akan turut menyumbang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada peningkatan perolehan dan keuntungan Hotel Paya Bunga pada akhir Disember tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, semalam.

Hotel Paya Bunga yang terletak di tengah pusat bandar raya Kuala Terengganu mula beroperasi pada tahun 2019 dengan kapasiti 208 bilik penginapan pelbagai jenis dan ia adalah antara hotel patuh syariah yang pertama di Terengganu.

Ditanya mengenai perancangan untuk tempoh dua tahun lagi, Abdul Hadi berkata, Hotel Paya Bunga mahu memperkenalkan pakej perkahwinan yang unik dengan mengadakannya di atas bumbung bangunan (rooftop).

“Konsep sebegini sudah banyak dibuat di sekitar Lembah Klang dan kita mahu jadi yang pertama untuk negeri Terengganu.

“Pelbagai perbincangan sedang dibuat untuk merealisasikannya, mungkin akan berjaya dilaksanakan satu atau dua tahun lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×