PETALING JAYA: Pengembangan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) memerlukan satu rangka kerja dan di kawal selia dengan lebih mendalam bagi mengurangkan risiko pengguna terjebak dalam hutang ei luar kemampuan.
Timbalan Ketua Pasukan Petugas Khas, Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), Azryta Abdul Aziz berkata, CCOB ketika ini juga dalam proses penggubalan Undang-Undang Kredit Pengguna (CCA).
“CCA ini untuk memastikan layanan adil terhadap peminjam kerana terdapat pelbagai undang-undang yang mengawal aktiviti kredit pengguna ketika ini.
“Ia boleh memberi impak positif dalam membantu isi rumah menguruskan hutang selain memberikan kerangka kepada penyedia dalam menilai kemampuan bakal peminjam.
“Jika penyedia memberikan kredit lebih daripada 1,000 mata pada bila-bila masa, mereka perlu melakukan penilaian kemampuan ke atas bakal pelanggan. Jadi, penilaian keterjangkauan bukan hanya tentang kelayakan kredit tetapi jenis penilaian yang lebih intensif,” katanya ketika menjadi panel persidangan dalam talian bertajuk ‘The Rise Of BNPL In The Consumer Credit System’ anjuran Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) secara maya.
Katanya, penyedia BNPL perlu menganalisis tingkah laku pelanggan dan titik data itu cukup berguna dalam menilai sama ada kredit patut atau tidak patut dilanjutkan.
“Kami berharap dengan mengadakan penilaian sedemikian sebelum kredit dilanjutkan, hutang isi rumah boleh dikawal,” katanya.
Sementara itu, Profesor Kehormat Universiti Malaya, Prof. Mohd. Naziri Ismail berkata, asas BNPL adalah penyelesaian kewangan alternatif, namun turut berupaya memberi risiko besar hutang terutamanya golongan muda.
“Ini kerana skim itu memberikan mereka pilihan membeli barangan walaupun tidak mempunyai kecukupan kewangan.
“Oleh itu, negara memerlukan penyelesaian tuntas bagi membantu pengguna, terutamanya golongan muda yang memerlukan bantuan kewangan secara mendesak,” katanya,
Mohd. Naziri berkata, mewujudkan institusi yang boleh membantu mereka yang memerlukan bantuan kewangan antara langkah yang boleh dilaksanakan selain literasi kesedaran.
“Ia bertujuan supaya mereka tidak perlu bergantung pada institusi kewangan yang mendapat keuntungan daripada meminjamkan wang kepada mereka.
“Institusi yang membantu masyarakat perlu dibesarkan. Contohnya menubuhkan satu platform wakaf. Namun, perubahan sikap masyarakat yang suka membantu dan bukannya suka membeli dan membazir semata-mata juga diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelidik Kanan Bersekutu KRI, Shereen Hazirah berkata, langkah mengimbangi antara peraturan dan inovasi dalam pembiayaan perlu dilaksanakan.
“Terdapat keperluan penting untuk menyepadukan pendedahan BNPL ke dalam metrik hutang isi rumah yang pada masa ini hanya termasuk bentuk hutang tradisional seperti pinjaman perumahan, peribadi dan kad kredit.
“Pengecualian BNPL boleh mencipta gambaran yang tidak tepat tentang hutang isi rumah, terutamanya apabila pendedahan kepada BNPL meningkat.
“Pengawal selia juga harus mewujudkan garis panduan yang jelas dan telus dengan pembekal BNPL perlu melaporkan mengenai kadar faedah, yuran, pendedahan keperluan dan amalan pemberian pinjaman,” katanya. – UTUSAN










