KONSEP jual dan bina sudah digunakan secara meluas dalam sektor hartanah di negara sejak sekian lama dan sistem ini juga telah berjaya menyediakan perumahan kepada rakyat Malaysia.
Melalui konsep ini, pembeli perlu membayar 10 peratus pada peringkat permulaan dan terus membuat bayaran progresif untuk unit mereka semasa pemaju membina kediaman tersebut.
Sebaliknya, bagi konsep bina dan jual pula, pemaju hanya boleh menjual produk atau unit yang sudah siap untuk diduduki kepada pembeli.
Sistem bina dan jual banyak diperbincangkan, malah Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming pada Oktober 2023 telah mencadangkan konsep tersebut untuk projek pembangunan hartanah kediaman pada masa akan datang.
Model tersebut dilihat mampu menangani masalah projek terbengkalai kerana pemaju hanya dibenarkan jual sebaik projek sudah siap.
Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), Sr Ishak Ismail berkata, kedua-kedua konsep tersebut sememangnya telah diamalkan oleh beberapa negara di dunia, namun jual dan bina banyak digunakan dalam projek pembangunan kediaman di Malaysia.
Katanya, konsep jual dan bina membolehkan pemaju mempunyai aliran tunai dan menguruskan projek pembangunan tersebut secara progresif.
Bagaimanapun, beliau berkata, konsep tersebut mempunyai risiko kepada pembeli iaitu kemungkinan berlaku kelewatan projek atau pun projek terbengkalai.
“Walau bagaimanapun, melalui konsep bina dahulu dan kemudian jual, harga unit tersebut dikatakan akan lebih tinggi berbanding sebelum dibina atau semasa pembinaan. Ini kerana bila jual dan bina, pembeli perlu tunggu tiga hingga empat tahun untuk menduduki rumah mereka.
“Pada saya, jika konsep bina dan jual ini dijalankan secara meluas, maka tidak ada masalah dari sudut persaingan harga. Semua pemaju akan mengikut konsep yang sama dan mereka juga masih dapat membuat keuntungan.
“Pembeli juga juga hanya perlu membuat pembiayaan kewangan setelah mereka sudah melihat rumah yang sudah 100 peratus siap, menilai kualiti dan seterusnya membuat keputusan untuk membeli. Bagi, saya ini adalah lebih baik kepada pembeli,” katanya ketika dihubungi kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ishak berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa pemaju kecil akan disingkirkan dalam pasaran jika konsep bina dan jual digunapakai secara meluas dalam pasaran hartanah negara.
Menurutnya, konsep bina dahulu dan jual kemudian memerlukan modal yang besar dan pastikan agak sukar kepada pemaju yang tidak mempunyai pembiayaan daripada pihak bank.
“Pada pandangan saya, untuk pihak pemaju mungkin mereka tidak akan bersetuju dengan cadangan ini.
“Ini bermakna, hanya pemaju yang mempunyai aliran kewangan yang kukuh akan berada dalam pasaran dan ia juga akan mengurangkan jumlah pemaju di pasaran.
“Namun begitu, pemaju dengan aliran tunai yang kukuh dapat memastikan projek terbengkalai dapat dikurangkan,” ujarnya
Selain itu, beliau berkata, pemaju juga akan mengadakan kajian pasaran yang lebih mendalam sebelum membina sesebuah projek pembinaan, bagi memastikan projek mereka dapat dijual apabila siap dibina.
“Perkara ini juga dapat mengurangkan data rumah siap yang tidak terjual dalam pasaran. Pembangunan akan dibina di kawasan yang strategik yang mendapat permintaan pembeli,” jelasnya.
Tambah beliau, jika konsep bina dan jual dilaksanakan di negara ini, kerajaan mungkin dapat memikirkan satu cara yang membolehkan pemaju kecil masih boleh bersaing dalam pasaran.
“Kajian dalam pasaran penting untuk membuat sesuatu projek pembinaan dan pemaju ini perlu menyakinkan pihak bank untuk memberi pinjaman kepada mereka untuk membangunkan projek tersebut,” katanya.-UTUSAN










