Untung bersih Sime Darby Berhad meningkat kepada RM340 juta - Utusan Malaysia

Untung bersih Sime Darby Berhad meningkat kepada RM340 juta

DATUK JEFFRI SALIM DAVIDSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad melaporkan untung bersih RM340 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2024, iaitu 41.7 peratus lebih tinggi berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

Keputusan ini adalah berasaskan hasil lebih tinggi berjumlah RM18.8 bilion, yang merupakan kenaikan sebanyak 63.4 peratus berbanding RM11.5 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pihaknya mengakhiri suku tahun dalam tinjauan dengan cemerlang, dengan bahagian perindustrian terus menjadi pemacu utama, memanfaatkan prospek kukuh sektor perlombongan khususnya di Australasia.

“Keputusan ini menunjukkan bahawa perniagaan perlombongan di Australia masih sangat kukuh dan menguntungkan.

“Tempoh ini juga merupakan suku tahun penuh pertama Bahagian UMW memberikan sumbangan kepada kumpulan. Usaha menyempurnakan penggabungan UMW dengan Sime Darby akan terus diberi keutamaan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Keuntungan yang lebih tinggi daripada perniagaan perindustrian, di samping keuntungan daripada UMW Holdings Berhad pada suku tahun dalam tinjauan, merupakan penyumbang utama kepada peningkatan untung bersih secara keseluruhan.

Bagi bahagian perindustrian, untung sebelum faedah dan cukai meningkat sebanyak 52.1 peratus kepada RM359 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024, disokong oleh keuntungan yang lebih tinggi daripada operasi Australasia.

Kenaikan ini dicapai terutamanya disebabkan peningkatan dalam sokongan produk dan penghantaran peralatan perlombongan, serta keuntungan daripada anak syarikat kumpulan; Onsite Rental Group (Onsite) dan Cavpower Group (Cavpower).

Bagi bahagian automotif, untung sebelum faedah dan cukai keseluruhan meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM180 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024, dipacu oleh operasi Malaysia yang mencatatkan kenaikan sebanyak 57.1 peratus kepada RM121 juta.

Di seberang Tambak, untung sebelum faedah dan cukai bagi operasi Singapura juga melonjak lebih sekali ganda, terutamanya dipacu jualan kenderaan elektrik yang lebih tinggi.

Prestasi kukuh operasi Malaysia dan Singapura membantu meringankan beban kumpulan akibat margin kenderaan rendah dalam operasi bahagian Automotif di Tanah Besar China.

Untung sebelum faedah dan cukai bagi bahagian UMW yang baru diperolehi, berjumlah RM262 juta bagi suku tahun yang dilaporkan, dihasilkan terutamanya daripada perniagaan automotif UMW.

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024, untung bersih Kumpulan meningkat lebih 100 peratus kepada RM3.2 bilion daripada RM836 juta setahun lalu, sebahagian besarnya hasil pelupusan Ramsay Sime Darby Health Care pada Disember 2023 yang meraih RM2 bilion.

Hasil bagi tempoh sembilan bulan meningkat 38.1 peratus kepada RM48.3 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya