PETALING JAYA: Swift Haulage Berhad (Swift Haulage) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM24.2 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, berbanding RM12.79 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataannya, pertumbuhan PBT dirangsang oleh pendapatan lain yang lebih tinggi yang dijana daripada pelupusan 12.5 peratus kepentingan dalam Global Vision Logistics Sdn. Bhd. (GVL).
Bagi suku sama, Swift Haulage merekodkan pendapatan sebanyak RM179.4 juta, daripada RM164.8 juta suku sama tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh oleh pengangkutan kontena (RM69.6 juta) dan pengangkutan darat (RM67.1 juta), secara kolektif berjumlah 76.2 peratus daripada jumlah hasil kumpulan.
Segmen perniagaan lain seperti pergudangan dan depoh kontena dan penghantaran kargo masing-masing menyumbang RM27.2 juta dan RM15.3 juta kepada hasil.
Tambahnya, perolehan yang bertambah baik itu didorong terutamanya oleh hasil tambahan yang dijana daripada peningkatan kapasiti untuk segmen pengangkutan darat, pengembangan gudang logistik auto dan peningkatan dalam perniagaan depoh pada suku terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift Haulage, Loo Yong Hui berkata, sektor logistik berkait rapat dengan kepantasan aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa terutamanya dengan permulaan perdagangan Malaysia pada suku pertama 2024 meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM690.6 bilion.
Katanya, sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan, Swift Haulage berkemungkinan mendapat manfaat langsung daripada ini dan pihaknya berharap untuk merebut mana-mana peluang yang mungkin timbul.
“Memandang ke hadapan, kami sangat menumpukan pada mengembangkan kapasiti pergudangan kami dan untuk membina hanya gudang mesra alam dan hijau yang diperakui.
“Oleh itu, saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa gudang kami yang baru dibina seluas 269,000 kaki persegi yang diperakui hijau di Westport telah diduduki sepenuhnya.”
“Segmen pergudangan dijangka menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang kerana kami menjangkakan permintaan untuk pergudangan mesra alam kekal kukuh,” ujarnya. – UTUSAN










