Program GET terima 40 peratus langganan daripada sektor perindustrian, komersial - Utusan Malaysia

Program GET terima 40 peratus langganan daripada sektor perindustrian, komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Tarif Elektrik Hijau (GET) menerima lebih 40 peratus langganan daripada sektor perindustrian dan komersial sejak dibuka pada 3 Mei 2024, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Langgan tersebut kebanyakannya daripada sektor perindustrian dan komersial seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, peruncitan dan perkhidmatan kewangan, serta institusi kerajaan.

Pengarah Urusan TNBX, anak syarikat milik penuh TNB, Ir. Mohd. Razif Abd. Halim berkata, GET adalah penyelesaian inovatif untuk perniagaan yang komited kepada kelestarian dan meningkatkan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka.

“Sambutan yang menggalakkan ini mencerminkan peningkatan komitmen terhadap kelestarian merentasi pelbagai industri.

“Dengan melanggan GET, syarikat boleh memastikan 100 peratus tenaga elektrik hijau digunakan untuk operasi mereka yang diperakui Sijil Tenaga Baharu Malaysia (mREC),” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Razif berkata, syarikat yang mempunyai sistem solar fotovoltaik (PV) sedia ada juga memilih GET untuk memastikan operasi mereka 100 peratus hijau.

“Dengan melanggan GET, perniagaan dapat mengurangkan jejak karbon mereka secara signifikan dan meningkatkan penarafan ESG, menjadikan mereka lebih menarik kepada pelabur.

“Dengan sijil mREC dan pematuhan kepada Standard REC Antarabangsa (I-REC), GET menyediakan akses kepada elektrik hijau yang boleh dipercayai dan diiktiraf di peringkat global,” ujarnya.

Tambahnya, selain meningkatkan penilaian ESG untuk menarik lebih ramai pelabur dan pemegang kepentingan, GET juga merupakan tenaga hijau mampu milik iaitu untuk premium tambahan hanya tiga sen setiap kWj, perniagaan besar boleh mencapai 100 peratus tenaga elektrik hijau.

Jelasnya, GET juga mempunyai kadar stabil, menjadikan perniagaan tidak terjejas dengan turun naik harga bahan api global, dengan pembaharuan tahunan automatik, tertakluk kepada semakan kerajaan.

Menurut TNB, bagi langgan sebelum 31 Mei 2024, anda boleh mengundurkan tempoh langganan GET kepada 1 Januari 2024, membantu anda mencapai sasaran kemampanan tahun semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN