Penstrukturan MAHB bukti keyakinan pelabur pada saham tempatan - Utusan Malaysia

Penstrukturan MAHB bukti keyakinan pelabur pada saham tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penstrukturan semula ekuiti Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menunjukkan peningkatan keyakinan pelabur dan pemegang saham ke atas prestasi syarikat tempatan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaburan anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) menunjukkan Malaysia mempunyai tarikan untuk pelaburan langsung asing (FDI).

Katanya, MAHB merupakan aset strategik negara yang memiliki pintu masuk udara di seluruh negara dan juga lapangan terbang di Türkiye.

“Bagi mencapai hasrat pelabur, segala perancangan dilakukan secara teliti dan terkawal.

“Kerajaan masih lagi memilikinya melalui pegangan oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memegang majoriti, manakala pegangan oleh kedua pelabur asing adalah pada 30 peratus.

“Persetujuan FDI seperti ini bukan mudah dicapai terutamanya melibatkan pegangan aset-aset strategik negara,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, konsortium diterajui Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh mereka pada harga tawaran RM11 sesaham.

Apabila tawaran itu selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus ketika ini kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB, sementara ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus saham.

Susulan pengumuman tersebut, saham MAHB mengalami kejatuhan sejurus urus niaganya disambung semula semalam berikutan tekanan jualan.

Pada pukul 9 pagi semalam, kaunter itu jatuh 30 sen kepada RM10.10 tetapi kemudiannya kejatuhan itu berkurangan di antara 14 dan 28 sen sesaham.

Kaunter itu berada di tempat ketiga dalam senarai kejatuhan teratas di Bursa Malaysia pada harga RM10.12 sesaham setakat 3.26 petang.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, gabungan dan peningkatan pemilikan saham ini akan membolehkan pemilik majoriti syarikat ini merencana strategi perniagaan yang lebih kompetitif dan mampan.

“Kita akan menyaksikan lebih banyak aktiviti seperti ini dan pada masa yang sama minat daripada pelabur antarabangsa akan berterusan meningkat

“Strategi nyahsenarai MAHB dari Bursa Malaysia adalah untuk menstruktur pemilikan syarikat supaya boleh dijenamakan bagi menarik minat pelabur luar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya