Penduduk Malaysia cecah 34 juta orang - Utusan Malaysia

Penduduk Malaysia cecah 34 juta orang

PENDUDUK Malaysia mencecah 34 juta orang pada suku pertama 2024. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk Malaysia mencecah 34 juta pada suku pertama 2024, meningkat 2.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk pada tiga bulan pertama tahun ini merangkumi 30.6 juta warganegara dan 3.4 juta bukan warganegara.

Menurutnya, kenaikan itu disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warganegara dan juga pertambahan penduduk bukan warganegara.

“Penduduk lelaki meningkat kepada 17.8 juta daripada 17.4 juta pada suku pertama 2023 dan perempuan meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama.

“Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya, kaum Melayu menyumbang 57.9 peratus iaitu 17.7 juta orang daripada jumlah penduduk pada suku pertama 2024 manakala penduduk Cina, India dan bumiputera lain masing-masing kekal kepada 22.6 peratus, 6.6 peratus dan 12.2 peratus.

Ujarnya, bagi Bumiputera Sabah merangkumi Kadazan dan Dusun meningkat sebanyak 2.1 peratus, Bajau (1.8 peratus), Murut (0.3 peratus), manakala Bumiputera Sarawak iaitu Iban (2.4 peratus), Bidayuh (0.7 peratus) dan Melanau (0.4 peratus).

“Penduduk yang berumur sifar ke 14 tahun dan umur bekerja 15 hingga 64 tahun masing-masing meningkat daripada 7.5 juta dan 23.2 juta kepada 7.7 juta dan 23.8 juta pada suku pertama tahun ini.

“Komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun ke atas kekal tidak berubah pada 2.5 juta,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 9.4 peratus iaitu bersamaan 106,386 kelahiran berbanding 117,413 kelahiran pada suku sama tahun sebelumnya.

“Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 49 bayi bagi setiap jam dan 1,182 bayi dilahirkan sehari suku pertama tahun ini yang mana kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,747 kelahiran berbanding 51,639 kelahiran,” katanya.

Mohd. Uzir berkata, Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,951 kelahiran manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 323 kelahiran.

“Sebanyak 47,964 kematian telah direkodkan pada suku pertama 2024, penurunan sebanyak 1.5 peratus berbanding setahun sebelumnya iaitu 48,693 kematian.

“Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 533 kematian sehari pada suku tahun pertama 2024, di mana
bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,434 manakala 20,530 kematian bagi perempuan.

“Pada tempoh masa yang sama, Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,730 kematian (16.1 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 68 kematian (0.1 peratus).

“Kumpulan penduduk yang berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 34,067 kematian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN