OPR hanya turun jika ekonomi perlu suntikan - Pakar - Utusan Malaysia

OPR hanya turun jika ekonomi perlu suntikan – Pakar

BNM mengekalkan OPR pada 3.00 peratus pada MPC kelima minggu lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keadaan ekonomi yang kukuh ketika ini dijangka akan mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 3.0 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, BNM dan Kementerian Kewangan hanya akan menurunkan OPR jika mendapati ekonomi semakin melemah dan memerlukan suntikan.

Katanya, OPR juga tidak mungkin dinaikkan kerana inflasi dalam negara juga stabil dan tidak memerlukan kawalan wang.

“Jika dalam proses untuk kembali kepada asas, sepatutnya perlu naik 25 mata asas lagi untuk capai tahap sama seperti 2019. Namun, saya tidak melihat perkara itu akan terjadi pada tahun ini dan OPR dijangka kekal pada 3.0 peratus hingga akhir tahun,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ekonomi negara masih memerlukan lonjakan untuk meningkatkan perbelanjaan persendirian di dalam pasaran.

“Perkara ini mungkin boleh berlaku selepas pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijangka melibatkan pengeluaran antara RM20 bilion hingga RM30 bilion.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mengagihkan segera bantuan-bantuan yang diumumkan sebelum ini begi mendorong rangsangan dalam ekonomi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, OPR akan kekal kerana keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar faedah sedia ada walaupun kadar inflasi di negara kita masih rendah sekitar 1.8 peratus.

“BNM akan memastikan OPR kekal kompetitif. Oleh itu, situasi yang berlaku di peringkat global turut memainkan peranan dalam proses membuat keputusan bank pusat,” jelasnya.

Sementara itu, CIMB Treasury and Markets Research dalam nota penyelidikannya turut menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus.

Katanya, ini sementara menunggu perincian mengenai rasionalisasi subsidi di tengah-tengah kejatuhan inflasi daripada kenaikan tarif elektrik dan air serta kenaikan cukai perkhidmatan pada suku pertama 2024.

“Pengeluaran daripada Akaun 3 KWSP yang akan diperkenalkan tidak lama lagi dan kenaikan gaji kakitangan awam bersedia untuk meningkatkan penggunaan swasta.

“Impak sebenar mungkin dicairkan oleh inflasi yang lebih tinggi pada separuh kedua 2024, yang mengekalkan inflasi tarikan permintaan terkawal.

“Rangsangan permintaan dan perubahan dasar harga yang ditadbir tetap mengekalkan kecenderungan ‘hawkish’ untuk OPR, terutamanya dalam konteks Fed AS yang tertunda dan turun naik mata wang pasaran baru muncul,” katanya.

Tambahnya, memandangkan keutamaan untuk campur tangan dan aliran masuk pemastautin untuk menangani kelemahan ringgit, dasar monetari berkemungkinan kekal status quo dan firma mengekalkan ramalan OPR hingga akhir 2024 pada 3.0 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN