PETALING JAYA: Kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 13 peratus merupakan satu langkah baik oleh kerajaan memandangkan gaji sesetengah penjawat awam agak rendah sebelum ini disebabkan oleh skim gaji terdahulu, kata penganalisis.
Penganalisis Ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kenaikan tersebut akan memastikan pendapatan minimum mereka merangkumi gaji dan elaun tetap melebihi RM2,000 sebulan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi, kenaikan itu daripada RM1,765 kepada RM2000 sangat dialu-alukan kerana secara purata gaji penengah di Malaysia adalah RM2,200 dan ia penting kerana kos minimum untuk hidup di Malaysia adalah kira-kira RM2,500 sebulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, semalam.
Katanya, bagaimanapun, kenaikan 13 peratus gaji itu perlu diikuti oleh kenaikan produktiviti dan ia satu cabaran besar buat negara.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan segera melaksanakan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) di dalam sektor-sektor kritikal untuk meningkatkan produktiviti keseluruhan sektor awam.
“Jika ia dapat dilakukan, ini boleh dijustifikasikan walaupun Belanjawan 2025 akan meningkat apabila kerajaan berbelanja lebih RM90 bilion sekarang untuk membayar gaji tahunan,” ujarnya.
Jelas Barjoyai, kenaikan 13 peratus itu mungkin belum mencukupi jika dilihat dengan keadaan ekonomi semasa, namun ia akan disokong oleh gaji progresif yang akan memberikan mandatori kenaikan gaji setiap tahun.
“Saya rasa mungkin ketika sudah melaksanakan AI secara menyeluruh, kita boleh struktur semula kumpulan pekerja di Malaysia dan gaji akan meningkat, walaupun akan menyebabkan sebahagian pekerja sektor awam dipindahkan ke sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau sektor lain,” katanya.
Katanya, kenaikan itu turut mempunyai risiko apabila kerajaan sebelum ini cuba menjimatkan belanjawan untuk menurunkan defisit negara dan sekarang ia melawan produktif kepada usaha untuk mengurangkan belanjawan negara.
“Kita perlu menonjolkan peningkatan produktiviti kerana ia penting dan akan meningkatkan pendapatan negara. Jika pendapatan negara meningkat walaupun perbelanjaan meningkat, kita masih dapat mencapai matlamat mengurangkan defisit belanjawan kita,” katanya.
Semalam, Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 13 peratus, tertinggi dalam sejarah mulai 1 Disember tahun ini.
Menurutnya, pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun ditetapkan pada kadar sekurang-kurangnya RM2,000 melibatkan implikasi kewangan sejumlah RM10 bilion.-UTUSAN










