PETALING JAYA: Peniaga menjangka keadaan perniagaan yang menggalak pada suku kedua 2024, dengan petunjuk keyakinan kekal dalam trajektori positif 0.7 peratus, kata Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi perniagaan sektor industri terus optimis dengan petunjuk keyakinan meningkat 5.3 peratus bagi suku yang sama berbanding kenaikan 0.6 peratus pada suku pertama 2024.
Menurutnya, perspektif yang bertambah baik dalam sektor Industri dipengaruhi oleh subsektor perlombongan, pembuatan, dan elektrik serta air, yang menjangkakan keadaan perniagaan menggalakkan pada suku rujukan.
“Bagi sektor pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan meramalkan keadaan perniagaan yang mencabar pada suku kedua 2024.
“Sementara itu, keyakinan perniagaan bagi sektor pembinaan menurun dengan petunjuk keyakinan mencatatkan penyusutan 14.8 peratus pada suku rujukan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, sektor perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan bertukar pesimis pada suku yang sama.
Katanya, responden menjangkakan prospek perniagaan yang kurang memberangsangkan dengan petunjuk keyakinan menurun 4.1 peratus pada suku kedua 2024 bagi sektor perdagangan borong dan runcit.
Katanya, berbanding dengan suku pertama 2024, petunjuk keyakinan sektor perdagangan dan runcit meningkat 4.7 peratus.
“‘Sektor perkhidmatan turut meramalkan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan pada suku kedua tahun ini dengan petunjuk keyakinan merekodkan penurunan 0.9 peratus.
“Prospek perniagaan bagi tempoh April hingga September 2024 kekal rancak dengan imbangan bersih naik 14.9 peratus berbanding 10.0 peratus yang dicatatkan sebelumnya.
“Semua sektor mencatatkan nilai positif kecuali perdagangan borong dan runcit.
“Sentimen dalam sektor Industri menunjukkan prospek perniagaan yang lebih cerah, dengan imbangan bersih meningkat 9.0 peratus berbanding 0 peratus yang direkodkan sebelum ini,” katanya.
Untuk enam bulan akan datang, katanya, sektor perkhidmatan meramalkan persekitaran perniagaan yang positif dengan imbangan bersih naik 9.5 peratus.
“Justeru, sektor pembinaan juga mengharapkan prospek perniagaan yang optimistik, dengan imbangan bersih naik 3.7 peratus bagi tempoh yang akan datang.
Seterusnya bagi perdagangan borong dan runcit, katanya, dijangka prospek perniagaan yang mencabar untuk enam bulan seterusnya, dengan imbangan bersih turun 1.5 peratus.
Namun begitu, subsektor perdagangan borong mengekalkan trajektori positif dengan merekodkan kenaikan 2.2 peratus berbanding peningkatan 17.0 peratus yang dicatatkan sebelumnya. – UTUSAN