PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar terus meningkat sebanyak 1.9 peratus pada April 2024 berbanding peningkatan 1.6 peratus pada Mac 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sama seperti bulan sebelumnya, semua sektor mencatatkan peningkatan pada April 2024.
Katanya, sektor perlombongan terus meningkat 10.0 peratus (Mac 2024: 8.3 peratus), disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (12.3 peratus) dan pengekstrakan gas asli (3.5 peratus).
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat 5.4 peratus (Mac 2024: 5.5 peratus), dengan indeks penanaman tanaman kekal dan pengeluaran ternakan masing-masing naik sebanyak 9.2 peratus dan 2.9 peratus.
“Pada masa yang sama, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan perlahan 0.8 peratus (Mac 2024: 0.6 peratus) disebabkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (8.9 peratus).
“Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 1.0 peratus, manakala indeks bekalan air mencatatkan peningkatan 7.2 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada asas bulanan, beliau berkata, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.5 peratus berbanding 1.6 peratus pada Mac 2024.
Jelasnya, sektor perlombongan meningkat 2.1 peratus (Mac 2024: 2.3 peratus), disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (2.7 peratus) dan pengekstrakan gas asli (0.4 peratus).
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat pada kadar lebih perlahan 0.7 peratus berbanding 4.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks penanaman tanaman kekal (1.3 peratus).
“Selain itu, sektor pembuatan naik perlahan 0.3 peratus disebabkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (1.4 peratus) dan pembuatan produk makanan (1.6 peratus). Sementara itu, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing naik 0.3 peratus dan 1.1 peratus,” ujarnya.
Mohd Uzir berkata, kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) di Bursa Malaysia berlegar melebihi RM4,000 setiap tan berikutan lonjakan harga minyak mentah, di tengah-tengah peningkatan harga minyak pesaing.
Jelasnya, harga buah tandan kelapa sawit juga terus meningkat sejak awal 2024, membawa kepada pertumbuhan positif dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.
“Selaras itu, MPOB mengunjurkan harga CPO lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya, dengan harga purata antara RM3,900 hingga RM4,200 setiap tan,” katanya.
Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 7.4 peratus pada April 2024, sama seperti bulan sebelumnya disebabkan oleh indeks bahan bukan makanan (9.0 peratus).
“Indeks barang siap meningkat 2.4 peratus, disebabkan oleh peningkatan dalam indeks kelengkapan modal (4.8 peratus). Sebaliknya, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen terus turun negatif 0.1 peratus, dipengaruhi oleh indeks bahan api yang diproses dan pelincir (-9.6 peratus),” jelasnya.
Perbandingan dengan negara lain menunjukkan bahawa IHPR Amerika Syarikat meningkat 2.2 peratus pada bulan ini berbanding 1.8 peratus pada Mac 2024.
IHPR Jepun naik 0.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya, peningkatan berterusan di mana kos meningkat bagi kebanyakan komponen, seperti peralatan pengangkutan, minuman dan makanan serta petroleum dan arang batu.
Sementara itu, harga pengeluar China terus menurun 2.5 peratus berbanding kejatuhan 2.8 peratus pada bulan sebelumnya.-UTUSAN










