FBM KLCI Bursa Malaysia berpotensi cecah 1,700 mata - Utusan Malaysia

FBM KLCI Bursa Malaysia berpotensi cecah 1,700 mata

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka terus mengekalkan aliran meningkat selain berpotensi mencecah sekitar 1,680 mata hingga 1,700 mata sekiranya nisbah harga pendapatan (PER) bursa kembali kepada purata jangka panjangnya.

Ia berikutan prestasi permodalan pasaran ekuiti Bursa Malaysia yang mencecah paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion pada Selasa, yang membolehkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencapai paras di atas 1,600 mata selepas dua tahun.

Pada 9.05 pagi semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.36 mata kepada 1,606.11 daripada 1,604.75 ketika ditutup kelmarin.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.46 mata lebih tinggi kepada 1,606.21.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penilaian pasaran saham di Malaysia berdasarkan nisbah PER adalah di bawah nilai sebenar, iaitu pada paras 16 kali berbanding purata jangka panjang 17 kali.

“Memandangkan trajektori positif ekonomi dan pendapatan syarikat, adalah wajar untuk FBM KLCI meningkat lebih kukuh.

“Jadi, indeks petunjuk Bursa Malaysia berpotensi mencapai tahap 1,680 hingga 1,700 mata sekiranya PER kembali ke paras purata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, beliau menjelaskan, prestasi bursa tempatan turut dibantu faktor luaran memandangkan data pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) dilihat sedikit lemah pada April lalu.

“Jumlah pekerjaan yang diwujudkan iaitu Nonfarm Payroll merosot ke paras 175,000 pada April berbanding jangkaan penganalisis ekonomi iaitu 238,000.

“Selain itu, kadar pengangguran AS juga meningkat ke paras 3.9 peratus berbanding 3.8 peratus sebelum ini, data itu menguatkan tanggapan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed AS) akan mengurangkan kadar faedah pada tahun ini.” ujarnya.

Beliau turut berpendapat komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal bersama-sama dengan perubahan dalam dasar cukai dan rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan akan menyediakan kestabilan ekonomi.

“Mengekalkan momentum penyatuan fiskal berpotensi meningkatkan kedudukan kredit kerajaan, menarik lebih banyak dana asing ke dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan aliran bursa tempatan selari dengan negara lain yang turut meningkat apabila jangkaan para pengurus dana global mengenai perubahan dalam pasar kewangan AS.

“Penurunan kadar faedah AS yang dijangka untuk Mac dan Jun tidak banyak berubah kerana tidak mencapai sasaran kadar inflasi dua peratus, di mana kadar semasa adalah di atas tiga peratus.

“Ekonomi AS juga semakin perlahan dengan data yang menunjukkan kekurangan jumlah pekerjaan baharu dan pertambahan pengangguran,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, momentum bursa tempatan belum boleh dikatakan kekal untuk jangka masa sederhana mahupun panjang.

“Ia kerana perubahan pasaran global kewangan adalah sangat cepat dan terus memberikan kesan yang mendadak kepada seluruh pasaran kewangan dunia.

Tambahnya, banyak lagi faktor lain selain dari keputusan AS iaitu perkembangan geopolitik di Timur Tengah dan di Eropah Timur yang akan memberi kesan yang besar kepada ekonomi global secara langsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×