Ekosistem kewangan beri harapan palsu pada peminjam - KRI - Utusan Malaysia

Ekosistem kewangan beri harapan palsu pada peminjam – KRI

INDIVIDU dinasihatkan agar berhati-hati untuk berhutang terutama dalam situasi masa kini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekosistem kewangan sedia ada mencipta insentif palsu kepada isi rumah untuk terjerumus dalam keberhutangan yang lebih serius, kata Khazanah Research Institute (KRI).

Menurut laporan terkini KRI iaitu The Financialisation of our Lives: Values and Trade-offs, ekosistem semasa meletakkan rasa ‘mampu milik’ yang palsu bagi pemilikan sesuatu barangan dan perkhidmatan, dengan secara tersembunyi, memberi implikasi ke atas keberhutangan individu dan keluarga mereka.

Ujarnya, sepanjang tiga dekad lalu, sektor kewangan telah berkembang melebihi peranan asalnya sebagai penyedia modal untuk ekonomi produktif kepada sebuah industri yang tersendiri, dengan memainkan peranan yang semakin penting dalam aktiviti harian ekonomi, institusi dan isi rumah.

“Pertumbuhan sektor kewangan telah memberi manfaat secara tidak seimbang kepada mereka yang memiliki aset dan kemahiran serta memperlebar jurang pendapatan antara segmen populasi yang berbeza.

“Malah, kesannya adalah lebih serius kepada mereka yang mempunyai akses terhad kepada sumber kewangan atau pengetahuan untuk mengendalikan produk kewangan yang kompleks,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, peningkatan rumah tidak mampu milik di bandar-bandar di Malaysia bukanlah berkaitan masalah gaji tidak berkembang kerana tidak ada jumlah kenaikan gaji yang boleh sepadan atau ‘mengejar’ kenaikan harga rumah yang pantas di Malaysia.

“Sebagai contoh, antara 2012 dan 2014, median harga rumah meningkat pada purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 23 peratus daripada RM170,000 kepada RM270,000.

“Dalam tempoh yang sama, median pendapatan isi rumah meningkat dengan ketara lebih perlahan pada CAGR sebanyak 11.7 peratus, kurang daripada separuh kadar kenaikan harga rumah.

“Adakah munasabah untuk mengharapkan gaji meningkat pada CAGR sebanyak 23 peratus untuk seiring dengan kenaikan harga rumah? Jawapan mudah ialah tidak,” katanya.

KRI berkata, ini bermakna terdapat juga ketidakpadanan yang besar antara pasaran buruh dan perumahan, iaitu pekerjaan dicipta tetapi rumah tidak mampu dimiliki sepenuhnya.

“Jurang yang semakin meningkat antara pendapatan isi rumah dan harga rumah boleh dijelaskan sebagai berkaitan dengan pembangunan dalam industri kewangan.

“Permintaan yang lebih tinggi untuk perumahan berbanding pertumbuhan pendapatan yang sederhana didorong oleh gadai janji. Bermula pada 2009/2010, harga rumah meningkat pada CAGR sebanyak 7.2 peratus.

“Namun, pada masa sama, rumah mahal boleh diakses dengan pembiayaan inovatif, seperti meningkatkan tempoh pinjaman dan meningkatkan nisbah pinjaman kepada nilai (LTV).

Tambahnya, peningkatan harga yang pesat ini disokong oleh skim kewangan yang inovatif boleh mewujudkan gelembung perumahan kerana harga tidak menggambarkan nilai sebenar hartanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya