PETALING JAYA: Berjaya Food Bhd (BFood), pengendali rangkaian kopi premium, Starbucks Malaysia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM29.76 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, berbanding untung bersih RM15.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut pemfailannya di Bursa Malaysia semalam, syarikat merekodkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM138.65 juta bagi suku sama, berbanding RM265.85 juta pada suku sama tahun lalu.
“Pendapatan yang jauh lebih rendah dan kerugian sebelum cukai yang ditanggung pada suku dikaji adalah disebabkan terutamanya oleh sentimen semasa berhubung konflik di Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024, BFood mencatatkan keuntungan bersih RM53.31 juta, merosot berbanding RM86.13 juta yang diraih bagi tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan melaporkan pendapatan RM599.74 juta dan kerugian sebelum cukai RM44.65 juta berbanding pendapatan berjumlah RM844.22 juta.
Penurunan pendapatan dan kerugian sebelum cukai itu juga disebabkan kerugian sekali sahaja daripada pelupusan kepentingan ekuiti entiti kumpulan dalam Jollibean Foods Pte Ltd.
“Tidak termasuk perbelanjaan berkaitan pelaburan luar biasa, kerugian sebelum cukai adalah RM34.15 juta dalam tempoh semasa yang dikaji,” ujarnya
Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang dividen untuk suku dikaji.
Tambahnya, lembaga pengarah berpendapat bahawa prestasi operasi perniagaan syarikat akan bertambah baik secara beransur-ansur sepanjang baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.-UTUSAN









