PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) dan Maybank Islamic menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi HouzKEY Maybank Islamic kali kelima dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan rumah untuk pembeli rumah baharu.
Pengarah Urusan Pemasaran & Jualan dan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, kerjasama itu bertujuan meringankan beban pinjaman perumahan pembeli rumah pertama dan kedua.
Katanya, pelanggan akan menikmati pembiayaan 100 peratus tanpa bayaran semasa tempoh pembinaan dan akan membayar bayaran bulanan yang lebih rendah.
“Tiada bayaran pendahuluan diperlukan dan pelanggan akan menerima ganjaran eksklusif,” katanya di Majlis Kerjasama Tropicana bersama Maybank Islamic dan IKEA Malaysia, di sini, hari ini.
Jelas Ixora, projek yang mengambil bahagian untuk tawaran itu termasuk Tropicana Metropark – SouthPlace 2 Serviced Residences, Tropicana Alam – Avisa Residences dan Tropicana Gardens Edelweiss Serviced Residences.
Katanya, Tropicana adalah mengenai membangunkan produk berkualiti ditambah dengan penyelesaian pembiayaan yang inovatif.
Dengan mengambil kira perkara ini, kami amat gembira dengan kerjasama inovatif kami dengan HouzKEY Maybank Islamic serta IKEA Malaysia.
Tambahnya, dalam masa yang sama, Tropicana Metropark juga menjalin kerjasama dengan IKEA Malaysia.
“Ia menjadikan kami sebagai pemaju pertama menawarkan pakej perabot menarik untuk pemilik hartanah HouzKEY dan SouthPlace Maybank Islamic sedia ada,” ujarnya.
Ixora berkata, pakej kelengkapan oleh IKEA Malaysia tersedia untuk pembeli rumah sedia ada Tropicana Metropark SouthPlace 1 Serviced Residences kerana mereka akan menyerahkan kunci rumah baharu tidak lama lagi.
Beliau berkata, selain itu, pelanggan Maybank Islamic HouzKEY turut menerima pakej kelengkapan rumah IKEA Malaysia eksklusif dengan kelebihan diskaun istimewa (7.0 peratus), manakala pelanggan bukan HouzKEY akan ditawarkan diskaun 5.0 peratus daripada kadar pakej perabot standard.
“Dua tema reka bentuk yang bergaya dan berbeza, iaitu “Moden Popular” dan “Moden Scandinavia” akan ditawarkan kepada pemilik rumah pada anggaran kos sekitar RM21,000 hingga RM29,000.
“Terdapat juga elaun untuk mencampur dan memadankan reka bentuk mengikut keutamaan khusus pembeli hartanah baharu seperti bilik tidur utama, ruang tamu dan ruang halaman boleh dicampur antara dua tema reka bentuk,” katanya. – UTUSAN







