SEPANG: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyasarkan semua 42 buah lapangan terbang di negara ini memenuhi Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) menjelang 2027.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, ini termasuk tiga buah terminal udara yang bukan dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Kami ketika ini sudah pun hampir melaksanakan kesemua Rangka Kerja QOS ini meliputi Terminal 1 dan 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Terdahulu, beliau mengumumkan perkembangan semasa program berkenaan yang telah bermula di KLIA sejak 2018 pada sidang akhbar di sini semalam.
Rangka Kerja QOS mengandungi sebanyak 28 elemen yang telah dikuatkuasakan bagi memastikan peningkatan berterusan mutu perkhidmatan dan keselesaan pengguna di terminal udara.
Ia mengandungi tiga fasa tempoh masa dengan fasa pertama meliputi kedua-dua terminal di KLIA sehingga 2022 diikuti 11 lagi lapangan terbang bagi fasa kedua sehingga 2025.
Fasa terakhir pula merangkumi baki kesemua terminal udara di seluruh negara sehingga 2027 depan termasuk tiga yang bukan di bawah pengendalian oleh pihak MAHB sendiri.
Mengulas lanjut, Saripuddin berkata, enam lagi elemen itu dijangka dapat dipenuhi KLIA pada suku kedua 2024 manakala selebihnya lagi akan cuba diselesaikan akhir tahun ini.
“Inisiatif ini merangkumi elemen pemeriksaan keselamatan, laluan masuk dan keluar serta pindahan imigresen selain kastam yang perlu dipatuhi semua pihak berkaitan,” katanya.
Baki dua elemen lagi ujar beliau, iaitu masa penggiliran yang merangkumi kaunter daftar masuk serta kawasan pengambilan dan penghantaran penumpang di zon bebendul jalan.
Beliau memberikan jaminan Rangka Kerja QoS itu bukan dilakukan oleh Mavcom untuk menghukum operator terminal udara tetapi lebih kepada keselesaan penumpang.
Justeru, jelasnya, pihaknya bersikap terbuka dan telus memaparkan prestasi semasa tahap kualiti elemen tersebut menerusi laman sesawang rasmi agensi berkenaan.
“Pautan khas itu menyiarkan prestasi syarikat penerbangan tempatan dan asing termasuk ketepatan masa berlepas dan mendarat serta pembatalan penerbangan.
“Paparan data tersebut boleh digunakan sebagai rujukan panduan penumpang yang akhirnya berhak memilih syarikat tertentu atas risiko sendiri sebelum membeli tiket.
“Mana-mana terminal udara gagal memenuhi QoS ditetapkan boleh didenda dalam usaha Mavcom memastikan mereka kekal patuhi piawaian dan perkhidmatan terbaik,” tegasnya.
Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa QoS itu tidak juga sama antara semua lapangan terbang yang memiliki perbezaan keperluan dan ciri unik masing-masing. – UTUSAN










