PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. (Kenanga IB) menjangkakan pasaran buruh kekal stabil sepanjang 2024, dicerminkan dalam pertumbuhan pekerjaan berterusan yang diperhatikan baru-baru ini.
Firma penyelidikan berkata, ini sebahagian besarnya disebabkan oleh jangkaan pengembangan berterusan dalam aktiviti ekonomi yang dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh.
“Kami mengunjurkan pertumbuhan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang kepada 3.3 peratus pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 3.0 peratus) dengan keseluruhan unjuran pertumbuhan KDNK 2024 pada 4.5 hingga 5.0 peratus (2023: 3.7 peratus).
“Dalam pada itu, jangkaan pemulihan dalam sektor perkilangan didorong oleh kitar semula teknologi serta realisasi pelaburan diluluskan yang direkodkan tahun lepas akan terus meningkatkan lagi aktiviti pengambilan pekerja pada bulan-bulan akan datang,” katanya.
Namun begitu, Kenanga IB berkata, isu struktur dalam pasaran buruh kekal membimbangkan, iaitu kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun yang kekal pada 10.6 peratus pada Februari untuk bulan keempat berturut-turut, berjumlah 306,600 orang.
“Selain itu, pengangguran yang berkaitan kemahiran berada pada 37.4 peratus, mencapai rekod tertinggi 1.94 juta pada suku keempat 2023,” ujarnya,
Kenanga IB berkata, pertumbuhan guna tenaga terus berkembang dengan stabil selama 31 bulan dengan pertumbuhan 0.2 peratus bulan ke bulan, tidak berubah untuk bulan kelima berturut-turut.
“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), terdapat peningkatan luas dalam guna tenaga merentas sektor.
“Bagi sektor perkhidmatan khususnya, perolehan pekerjaan dicatatkan dalam perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan,” jelasnya.
Firma berkata, kadar pengangguran kekal tidak berubah untuk bulan keempat berturut-turut pada Februari iaitu 3.3 peratus, menyamai tahap sebelum pandemik.
“Secara mutlak, bilangan penganggur pada Februari jatuh kepada 567,000 berbanding 567,300 berbanding Januari, kadar terendah sejak Februari 2020 yang merekodkan 525,200.
“Selain itu, penganggur aktif turun sedikit kepada 452,400 berbanding Januari 452,500, menandakan yang terendah sejak Mac 2020 yang merekodkan 422,900,” tambahnya.-UTUSAN











