KEUNIKAN pada corak dan motif Borneo membangkitkan semangat anak jati Sarawak, Fredrick Ding, 29, untuk memperkenalkannya dalam bentuk anyaman rotan ke peringkat yang lebih luas.
Dia yang dibesarkan dalam keluarga yang mahir menghasilkan anyaman bermotif diperbuat daripada rotan dari segenap generasi.
Hasil tangan yang halus itu, membuatkannya amat meminati dan percaya bahawa, kraf tangan anyaman terutama bercorakkan Borneo dapat diperkembangkan dengan lebih jauh dalam industri kraf tangan negara.
Justeru itu, Fredrick memperoleh inspirasi untuk mengolah beg moden anyaman rotan bercorakkan motif Borneo, apabila mendapati bahawa reka bentuk beg rotan tradisional yang sebelum ini mendapat sambutan tinggi, kini sudah kurang permintaan.
Menurut Fedrick, motif Borneo yang dipamerkan di kain batik Sarawak, corak tenunan yang ada pada pua kumbu dan ukiran kayu mengikut suku-suku kaum di negeri itu, mendapat sambutan daripada orang tempatan mahu pun di luar negara.
Oleh itu, dia yang merupakan suku kaum Kayan tidak ingin melihat hasil tangan anyaman rotan bercorak terutamanya menggunakan motif yang melambangkan etnik tersebut pupus begitu sahaja sekiranya tiada usaha lebih dilaksanakan.
Katanya, hasil-hasil anyaman yang dihasilkan oleh suku kaum Kayan, rata-ratanya terdiri daripada orang kampung yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak, sekali gus menyebabkan kurang diketengahkan kepada orang luar mengenai keunikan kraf tangan mereka.
Oleh itu, dengan bantuan ahli keluarganya terutama ibunya, Fedrick mengatur strategi perniagaan dengan mendapatkan bekalan rotan daripada orang-orang kampung, di samping dapat membantu menjana ekonomi mereka.
Dia juga dibantu oleh ahli keluarga dan orang kampung untuk menganyam corak traditional menurut rekaan yang dihasilkannya dan juga bersesuaian dengan saiz beg.
Pada mulanya, Fedrick tidak mempunyai kemahiran untuk menjahit beg rotan, namun setelah mendapati bahawa terdapat kenalan yang mencari beg anyaman rotan bercorakkan Borneo, lalu dia gigih untuk mempelajari cara menjahit menggunakan mesin.
“Saya sebelum ini hanya membantu untuk menjual beg moden yang sudah siap dijahit kepada rakan-rakan terdekat sahaja. Namun setelah mereka juga turut mencari beg moden tapi bermotifkan corak traditional, maka saya melihat ia merupakan peluang besar untuk menjalankan perniagaan ini.
“Dengan bermodalkan RM20,000 yang dibantu oleh ibu saya, sambutan jualan kini terdiri daripada pelanggan bukan sahaja orang tempatan malah juga daripada luar negara seperti Australia dan Singapura,” katanya.
Tambahnya, rata-rata pelanggan tempatan yang menempah beg miliknya terdiri daripada Semenanjung Malaysia, yang mungkin pada sebelum ini tidak menyedari kewujudan beg anyaman rotan yang unik tersebut.
Perniagaan beg moden bermotifkan corak Borneo tersebut, mula mendapat sambutan apabila dia menggunakan media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook untuk memperkenalkan produknya.
“Apa yang lebih mengkagumkan pelanggan kami apabila mendapati warna hitam pada rotan, hasil daripada air rebusan tanah liat yang didapati di sungai untuk menghasilkan warna tersebut, sekaligus dapat menjadi kualiti corak beg tahan lama dan kekal,
“Saya juga memberi jaminan pada pelanggan bahawa setiap beg yang diperoleh daripada kami jika terdapat kerosakan sama ada pada jahitan dan sebagai, mereka boleh pulang balik kepada kami untuk dibaiki semula tanpa ada cas tambahan” katanya.
Dalam pada itu, katanya, anggaran keuntungan kasar yang diperolehnya dalam sebulan ialah lebih daripada RM3000.
“Dalam sebulan, saya hanya mampu hasilkan 10 hingga 15 biji beg, berdasarkan pesanan daripada pelanggan kerana kita tidak mahu akan berlakunya banyak pembaziran rotan berikutan bahan utama tersebut kini sukar untuk didapati.
“Malah keuntungan yang diperoleh pada setiap bulan juga akan diagihkan kepada mereka yang telah membantu untuk menghasilkan corak pada beg anyaman moden ini,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak kerajaan juga dapat memberikan keutamaan dan bantuan untuk memperkembangkan lagi perniagaan hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh mereka yang berada di pendalaman Sarawak agar dikenali di mata dunia.-UTUSAN










