PETALING JAYA: Syarikat teknologi hartanah terkemuka Asia Tenggara, PropertyGuru Group Limited (PropertyGuru) mengumumkan pelantikan Kenneth Soh sebagai Pengurus Negara untuk Malaysia.
Pelantikan tersebut adalah bagi menggantikan Sheldon Fernandez, yang telah berkhidmat sebagai Pengurus Negara selama sembilan tahun dan akan beralih dari PropertyGuru pada 30 April nanti.
Dalam memegang jawatan tersebut, Kenneth diberi mandat memimpin pertumbuhan PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my.
Selain itu, sebagai Pengurus Negara yang baharu, beliau akan memimpin dalam mengatur strategi yang memberikan nilai kepada pencari hartanah Malaysia dan rakan-rakan pelanggan.
Tambahan lagi, beliau akan bertanggungjawab dalam memantau operasi komersial kedua-dua laman web hartanah tersebut.
Kenneth mempunyai pengalaman luas dalam kepimpinan komersial dan operasi, dengan rekod terbukti dalam membesarkan perniagaan e-dagang, memimpin transformasi digital berskala besar, dan membina pasukan berprestasi tinggi.
Sebelum ini,beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pemasaran, Pertumbuhan, dan Komunikasi di Shopee Malaysia.
Ketika memegang jawatan tersebut di Shopee Malaysia, beliau sentiasa memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan dan kesetiaan pengguna, selain daripada memimpin pertumbuhan komersial.
Terdahulu, Kenneth pernah bekerja di organisasi McKinsey & Company dan Schlumberger di Malaysia.
Justeru itu, dengan pengalaman beliau yang ada dalam mendorong pertumbuhan, sebagai Pengurus Negara nanti, beliau akan membimbing dan mewakili Pasukan Kepimpinan Malaysia yang berbagai fungsi, dan hampir 400 Guru di seluruh negara.
Pengarah Urusan, Pasaran, PropertyGuru Group, Jeremy Williams berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan seorang pemimpin yang berfikiran strategik dan bijaksana bagi memimpin PropertyGuru Malaysia.
“Kemahiran yang diperoleh oleh Kenneth ini akan membantu memacu pertumbuhan ketika kami berusaha untuk membimbing sektor hartanah Malaysia dalam membuat keputusan dengan yakin.
“Saya juga bersemangat untuk bekerja rapat dengan Kenneth dan Pasukan Kepimpinan Malaysia dalam memperkukuhkan organisasi ke arah kejayaan yang lebih besar.”katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










