PETALING JAYA: Harga emas naik ketika ini disebabkan oleh dolar Amerika Syarikat (AS) sedang melemah, iaitu terdapat perubahan pelaburan dari pegangan dolar AS kepada emas, kata penganalisis.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan harga emas berterusan sejak dari akhir tahun 2023, didorong pasaran kewangan global mengunjurkan Rizab Persekutuan (Fed) akan menurunkan kadar faedah pada 2024
“Pasaran kewangan global mengunjurkan Fed akan menurunkan kadar faedah tahun 2024, yang dijangka memberikan kesan kepada penurunan nilai dolar AS apabila ia dimulakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, harga emas juga naik disebabkan oleh krisis di Asia Barat pada tahun lepas dan krisis yang berterusan menunjukkan cabaran ekonomi dunia yang tidak surut.
Katanya, kadar inflasi juga masih tinggi terutama di AS lalu mendorong kepada emas sebagai pelaburan aset yang selamat.
Aimi Zulhazmi menambah, para pengurus kewangan termasuk bank-bank pusat turut mengalihkan pegangan aset selamat mereka kepada emas.
“Data-data juga menunjukkan peningkatan ketara, jelas ini juga diantara sebab utama mendorong kenaikan harga emas dunia semasa.
“Sejak dahulu lagi emas tetap menjadi pilihan orang ramai sebagai aset pelaburan, terutama tatkala ketidaktentuan seperti perang, krisis politik mahupun krisis ekonomi ketika ini,” ujarnya.
Sehingga artikel ini tulis, harga emas berada pada AS$2,291.92 (RM10,889.1), jatuh 0.25 peratus berbanding hari sebelumnya.
Bagi tempoh 30 hari pula, harga emas meningkat sebanyak AS$149.89 (RM712.14) atau 6.98 peratus.-UTUSAN










