PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) mengumumkan sokongan dalam memajukan infrastruktur digital Malaysia dengan menyediakan Kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq berjumlah RM253.5 juta kepada Pi Data Centre Sdn. Bhd. (PiDC) bagi pembinaan Pusat Data Tier III berkelas dunia di Cyberjaya, Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Pembangunan, Roni Abdulwahab berkata, pihaknya berbangga untuk menyumbang kepada perjalanan transformasi digital Malaysia dengan menyokong pembinaan pusat data terkini ini.
“Kerjasama ini menggariskan komitmen Bank Pembangunan dalam menyampaikan modal impak untuk pembangunan negara dan kami percaya pelaburan dalam infrastruktur digital adalah penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
“Inisiatif PiDC seiring dengan strategi nasional seperti MyDIGITAL dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Justeru, projek ini tidak hanya membuka jalan untuk pembangunan infrastruktur digital yang kukuh, tetapi juga memudahkan pertumbuhan tenaga kerja digital, sekali gus meningkatkan keupayaan Malaysia dalam inovasi digital,” katanya baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Ong Chin Seong berkata, projek ini menekankan komitmen mereka kepada kelestarian dan pembangunan bakat.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Bank Pembangunan dalam merealisasikan visi kami untuk mendirikan sebuah pusat data bertaraf dunia yang bukan sahaja memenuhi piawaian kecekapan dan prestasi tertinggi tetapi juga berfungsi sebagai pemangkin untuk kelestarian alam sekitar dan pembangunan bakat.
“Melalui perkongsian strategik dan inovasi, kami menyasarkan untuk menetapkan penanda aras baharu industri sambil menyumbang kepada perjalanan transformasi digital Malaysia.
PiDC direka untuk mencapai pensijilan LEED (Leadership in Energy and Environmental Design) Perak dan GreenRe Emas, melambangkan komitmennya kepada amalan mesra alam dalam reka bentuk, pembinaan dan operasi.-UTUSAN










