SHAH ALAM: Seramai 1,120 usahawan dibantu oleh Perbadanan Usahawan Nasional berhad (PUNB) yang terlibat dalam industri automotif sejak 2002.
Pengerusinya, Tan Sri Acryl Sani Abdullah berkata, usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri tersebut dilapor mengalami peningkatan dan PUNB bersedia menyokong mereka untuk mengembangkan perniagaan pada masa depan.
“Bateriku.Com sebuah syarikat bumiputera yang menyediakan perkhidmatan untuk kenderaan berkaitan dengan automotif yang bermula dengan membekalkan bateri.
“Sekarang, syarikat berkembang kepada pelbagai sektor atau aktiviti berkaitan dengan automotif. Syarikat ini adalah satu daripada usahawan yang dibantu oleh PUNB untuk mengembangkan perniagaannya,” katanya ketika melawat pejabat Bateriku.Com di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan peningkatan jumlah usahawan dalam sektor automotif dan sebahagian daripada hasil usaha terhadap pemerkasaan dan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
“PUNB dengan ini akan terus menganjurkan bengkel-bengkel latihan untuk usahawan yang berminat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang automotif, di samping membuat lawatan membawa mereka ke luar negara.
“Ini bagi mereka mencari pengalaman dan menambahkan rangkaian serta meneroka peluang perniagaan yang terkini. Oleh itu, akhir April ini PUNB akan menganjurkan lawatan ke Korea Selatan yang akan disertai hampir 100 usahawan automotif dari seluruh negara,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi berkata, PUNB merupakan pihak pertama yang membantunya membangunkan perniagaan pada tahun 2016.
“Dengan sokongan PUNB juga kita mampu membuka 200 kedai seluruh negara. Kita turut memberi inspirasi kepada usahawan lain untuk berjaya dalam bidang ini.
“Sempena Hari Raya Aidilfitri ini juga, Bateriku.Com akan beroperasi seperti biasa. Pengguna jalan raya tidak perlu bimbang, jika ada masalah boleh menghubungi kami pada bila-bila masa 24 jam sehari,” ujarnya.-UTUSAN










